Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua kanan) diiringi Pengerusi Asiawalit, Datuk Chua Huai Gen (dua kiri) menunjukkan kebolehan mengambil sarang burung Walet ketika mengadakan lawatan ke Loji Pemprosesan Sarang Burung Walet di Asiawalit Resources Sdn Bhd, Puchong, Selangor.Foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2023.

PUCHONG – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bekalan telur ayam dan daging sepanjang Ramadan ini stabil.

Beliau bersama pegawai di jabatan dan agensi kementerian itu sentiasa memantau dua bekalan berkenaan yang diperlukan umat Islam sentiasa mencukupi.

“Bekalan telur untuk Ramadan stabil. Ramadan ini juga kita sedang melihat masalah daging menjelang Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya.

“Selalunya dalam bulan Ramadan ramai buat kenduri untuk jamuan di masjid dan sebagainya. Oleh itu, keperluan daging perlu dipertingkatkan sepanjang Ramadan ini, sampailah kepada hari raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke loji pemprosesan sarang burung walit di Asiawalit Resources Sdn. Bhd di sini hari ini.

Mengenai harga sayur yang agak mahal di pasaran ketika ini, Mohamad telah mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melakukan pemantauan.

Katanya, jentera yang ada menerusi jabatan dan agensi berkaitan juga digerakan segera di tempat aduan orang ramai mengenai harga sayur yang mahal.

“Saya sudah arahkan FAMA untuk tengok di mana berlaku kenaikan harga sayur dan kita gerakan dengan ke kawasan itu. Kita tahu ‘benda hidup’ ini sentiasa berubah dan sekarang masalah telur serta ayam agak reda, mari (datang) pula masalah sayur.

“Kita akan buat kajian data supaya tempat yang kurang sayur sehingga berlaku kenaikan harga akan ditambah dari tempat (sayur) berlebihan dengan segera,” katanya lagi.

Beliau berharap masalah itu dapat diatasi seberapa segera.

Katanya, bahan mentah lain masih mencukupi dan masih dalam kawalan, melainkan sayur ada ketikanya harga naik dan turun.

Sementara itu, Mohamad juga mengalu-alukan pihak yang menunjukkan minat dalam perniagaan sarang burung walit.

Ujar beliau, sarang burung walit merupakan makanan tambahan bagi negara selain industrinya dapat mewujudkan pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Alhamdulillah, lawatan kali kedua saya ke tempat proses sarang burung walit ini memperlihatkan perkembangan menggalakkan dan dilakukan mengikut peraturan kesihatan.

“Sarang burung walit ini di eksport ke China yang merupakan negara terbesar menerima bekalan ini daripada Malaysia. Saya harap, industri ini dapat berkembang dengan lebih pesat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast