vaksin dos penggalak
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan memutuskan semua polymyxins adalah bahan terlarang dalam produk ubat veterinar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-381 yang bersidang pada Khamis yang lalu.

Bagaimanapun, larangan berkenaan tidak membabitkan produk ubat veterinar yang mengandungi Polymyxin B.

“Pembatalan pendaftaran produk ubat veterinar berdaftar yang mengandungi Polymyxin E (Colistin) berkuat kuasa serta-merta, malah pengilangan, pengimportan dan pembekalan produk tidak dibenarkan serta-merta.

“Pemegang Pendaftaran Produk pula dibenarkan menghabiskan stok sedia ada di pasaran dalam tempoh tiga bulan dari tarikh surat pembatalan produk.

“Penolakan permohonan pendaftaran baharu produk ubat veterinar yang mengandungi Polymyxin (kecuali Polymyxin B dalam bentuk sediaan topikal) berkuat kuasa serta-merta,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, Polymyxin khususnya Polymyxin E (Colistin) mempunyai potensi untuk disalah guna dalam makanan haiwan sebagai agen penggalak pertumbuhan (growth promoter).

Tambah Noor Hisham, penggunaan Polymyxin E (Colistin) secara berleluasa boleh menyumbang kepada kerintangan antimikrobial (Antimicrobial Resistance, AMR).

Sehubungan itu menurut beliau, KKM tidak mempertimbangkan permohonan pendaftaran semula bagi produk ubat veterinar yang mengandungi polymyxins kecuali polymyxin B.

Jelas Noor Hisham, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sentiasa memastikan semua produk farmaseutikal termasuk ubat veterinar yang dibekalkan di Malaysia dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

“Penilaian manfaat risiko dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Polymyxins (seperti Polymyxin E (Colistin) dan Polymyxin B dikategorikan sebagai Critically Important Antimicrobials oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berdasarkan Annex 1 Penerbitan WHO Critically Important Antimicrobials for Human Medicine.

Polymyxins dikategorikan sebagai keutamaan tertinggi berdasarkan Table 2: Prioritization of antimicrobials categorized as “Critically Important” in human medicine kerana telah menepati kesemua faktor keutamaan (prioritization factors).-MalaysiaGazette