A healthcare working showing the CoronaVac Covid-19 vaccine manufactured by Sinovac during the National Covid-19 Immunisation Programme at KPJ Tawakkal Hospital in Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 07 JUNE 2021. PICK Adolescents
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan yang sebahagiannya didakwa tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang.

Jelas beliau yang juga Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa akan memperincikan perolehan tersebut apabila Kertas Putih berkenaan dibentangkan nanti.

“KKM akan bentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin dan kos yang berkaitan di mana sebahagiannya berlaku ketirisan dan ditandatangani menteri tanpa persetujuan Peguam Negara melalui proses sepatutnya.

“Perolehan bagi sesetengah vaksin ini amat diragui dari segi jumlah dan kos yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Pada Januari 2021, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan keterangan serta penjelasan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan mengenai perolehan serta penggunaan vaksin Covid-19.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, penjelasan tersebut dibuat dalam prosiding PAC mengenai vaksin Covid-19 yang dihadiri oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di bangunan Parlimen.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan ke mana perginya peruntukan asal berjumlah RM3 bilion seperti diluluskan dalam Belanjawan 2021 bagi membeli vaksin Covid-19 untuk kegunaan 85 peratus rakyat Malaysia.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga membangkitkan terhadap peruntukan tambahan RM2 bilion yang menjadikan jumlah belanjawan pembelian vaksin sebanyak RM5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette