musang king
Aireroshairi Roslan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Pahang bimbang dengan tindakan beberapa wakil rakyat DAP yang didakwa memberi sokongan terhadap penceroboh tanah kerajaan yang mengusahakan tanaman durian Musang King secara haram di negeri itu.

Ketuanya, Aireroshairi Roslan berkata, perkara itu dapat dilihat melalui kehadiran Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada perhimpunan yang disertai lebih 500 pengusaha durian Musang King di Sungai Ruan pada 2 Februari lalu.

Menurut beliau, Yu Hui juga secara terbuka telah meminta Kerajaan Negeri Pahang bertimbang rasa terhadap nasib pekebun durian Musang King di Raub.

“Hebat sungguh DAP, penceroboh pun boleh berunding dan keras kepala. Sedangkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini telah menasihatkan pekebun durian Musang King di Raub supaya menimbang semula permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan.

“Beliau turut menegaskan bahawa tanah-tanah yang dipertikaikan adalah dengan jelas merupakan tanah milik kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 28 Januari lalu, Yu Hui dalam satu kenyataan meminta Wan Rosdy mempertimbangkan pandangan Pakatan Harapan (PH) Pahang dalam menyelesaikan kemelut berkaitan pengusaha durian Musang King yang meneroka tanah kerajaan secara haram.

Beliau yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (Samka) berkata, pengusaha-pengusaha terbabit telah memberi sumbangan besar terhadap industri durian di negara ini sehingga menjadikan Raub terkenal di seluruh dunia sebagai bandar Musang King.

Aireroshairi turut mengingatkan kembali bahawa pada 3 Julai 2021, kira-kira 15,000 pokok durian Musang King di kawasan seluas 101 hektar di Batu Talam telah ditebang kerana ditanam di kawasan hutan simpan kekal.

Ironinya, kata beliau, tindakan tegas kerajaan negeri dan pihak berkuasa negeri Pahang itu kini ditentang oleh DAP secara jelas sedangkan UMNO dan DAP bersama-sama dalam kerajaan campuran.

“Mungkinkah kehendak DAP lebih utama daripada tanah negeri Pahang dan maruah UMNO Pahang?” soalnya.

Beliau juga berharap agar UMNO terus berpegang dengan pendirian sebelum ini bagi membuktikan bahawa kuasa politik orang Melayu tidak hilang ditelan DAP.

“Jangan dicabul kedaulatan negeri dan hak rakyat hanya kerana ‘cintakan’ DAP,” katanya.

Aireroshairi turut menyeru pemimpin dan penduduk yang telah dinafikan hak mereka supaya bersatu melawan pencerobohan tersebut supaya tidak timbul situasi ‘menang sorak kampung tergadai’. – MalaysiaGazette