Gambar ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditangkap selepas disyaki memandu secara merbahaya dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamin berkata, tangkapan dibuat susulan satu kejadian yang berlaku pada Selasa lalu apabila sebuah kereta Proton Wira berwarna kelabu didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan dan melanggar lampu isyarat.

Bagaimanapun, katanya, dua daripada ketiga-tiga lelaki berkenaan melarikan diri apabila menyedari kehadiran kereta peronda polis.

Katanya, pemandu kereta itu kemudian memandu secara melawan arus sebelum merempuh kenderaan polis.

Menurut Mohd Fakhrudin, polis telah cuba menahan kereta tersebut di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Damai 1 namun dua suspek lelaki keluar dan melarikan diri.

“Seorang lagi lelaki telah memecut dengan laju dan melulu melawan arus kemudian melanggar kereta peronda polis sehingga menyebabkan kenderaan MPV polis mengalami kerosakan di bahagian bumper sebelah kanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan dalam kenderaan yang ditinggalkan mendapati terdapat pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan.

Hasil semakan polis turut mendapati kenderaan yang digunakan suspek masih dilaporkan hilang di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Lelaki itu kemudian ditangkap di kawasan Blok C Pangsapuri Idaman Damansara pukul 3.45 pagi dan telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah  dan direman dua hari bagi membantu siasatan,” tambahnya.

Mohd Fakhrudin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 28 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan. – MalaysiaGazette