Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung semasa hadir makan tengah hari sebelum menunaikan solat jumaat di Kedai Ikan Bakar Tangling, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Semua pegawai tinggi kerajaan perlu mencontohi tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun sendiri ke lapangan berjumpa rakyat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, tindakan Perdana Menteri bertemu masyarakat pada setiap hari Jumaat sebelum solat bukan semata-mata mahu makan bersama mereka.

Sebaliknya kesempatan berkenaan digunakan oleh Perdana Menteri untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

“Beliau bukan sahaja hadir untuk bersama-sama menikmati makanan dengan rakyat tetapi lebih kepada mengambil peluang untuk mendengar keluh kesah, cadangan dan harapan rakyat kepada kerajaan yang beliau pimpin.

“Jadi saya rasa perkara ini boleh dijadikan sebagai contoh untuk setiap daripada kita ketua-ketua jabatan sama-sama turun.

“Bila kita melihat sendiri apa yang dilalui oleh rakyat maka lebih mudah untuk kita memahami permasalahan rakyat,” kata Mohd Zuki.

Menurut Mohd. Zuki, kebiasaan pegawai tertinggi kerajaan hanya membuat keputusan di dalam bilik pejabat.

Tanpa turun dan bertemu dengan rakyat secara langsung keputusan yang diambil tidak memberi kesan kepada rakyat.

“Kadang-kadang kita membuat keputusan, kita banyak berada di pejabat lebih kepada kertas dan cadangan yang diangkat oleh pegawai-pegawai kita.

“Saya khuatir kalau-kalau kita tidak dapat menghayati isu sebenar yang berada di bawah yang amat-amat diharapkan oleh rakyat pada ketika tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara yang berlangsung di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani, Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Mohd Zuki menegaskan, Perdana Menteri amat menitik beratkan masalah yang dihadapi rakyat yang seharusnya perlu dirasai juga oleh pegawai kerajaan.

Menurut beliau, Anwar pada hari ketiga dilantik sebagai perdana menteri walaupun belum mempunyai anggota Kabinet telah mempengarusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

“Ini mengambarkan kesungguhan PM agar isu yag melibatkan kepentingan dan isu yang dialami rakyat diberi perhatian khusus bukan sahaja oleh kerajaan tetapi oleh penjawat awam.

“Untuk memastikan apa yang dihadapi oleh rakyat difahami dan mencari kaedah terbaik untuk memastikan agar apa yang hasratkan untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat dapat dilaksana sebaik mungkin,” kata Mohd. Zuki.-MalaysiaGazette