KUALA LUMPUR – Penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 33 juta, meningkat 1.3 peratus pada suku tahun keempat 2022 berbanding 32.6 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya.

Jumlah penduduk ini merangkumi 30.4 juta (92.0%) warganegara dan 2.6 juta (8.0%) bukan warganegara.

Kenaikan ini disumbangkan oleh pertambahan semula jadi yang positif dan juga pertambahan penduduk bukan warganegara disebabkan oleh peningkatan kemasukan pekerja dan pelajar warga asing ke Malaysia.

Penduduk lelaki meningkat daripada 17.1 juta kepada 17.4 juta berbanding suku tahun keempat 2021 manakala perempuan meningkat daripada 15.5 juta kepada 15.6 juta bagi tempoh yang sama.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkaya, secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi warganegara adalah 104 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Tiga negeri mencatatkan jumlah penduduk tertinggi pada suku tahun keempat 2022 iaitu Selangor (21.6%) diikuti oleh Johor (12.3%) dan Sabah (10.4%).

Katanya, penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) kekal pada 7.7 juta pada suku tahun keempat 2022 berbanding pada suku tahun keempat 2021.

Sementara itu, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.6 juta kepada 22.9 juta berbanding suku tahun keempat 2021 manakala komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.3 juta kepada 2.4 juta bagi tempoh yang sama.

Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 2.1 peratus (109,842 kelahiran) berbanding suku tahun keempat 2021 (112,205).

Bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 56,348 kelahiran berbanding bayi perempuan (53,494 kelahiran).

Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 21,384 kelahiran (19.5%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (362 kelahiran: 0.3%).

Beliau menambah, sebanyak 48,780 kematian telah direkodkan pada suku keempat 2022, penurunan sebanyak 10.2 peratus berbanding suku tahun keempat 2021 (54,316 kematian).

Bilangan kematian bagi lelaki adalah 28,222 sementara kematian bagi perempuan sebanyak 20,558 kematian.

Pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,711 kematian (15.8%) manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 75 kematian (0.2%).

Kematian disebabkan Covid-19 menurun pada suku tahun keempat 2022 iaitu daripada 4,738 kematian pada suku tahun keempat 2021 kepada 492 kematian.

Menurut beliau, kematian disebabkan Covid-19 menyumbang 1.0 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun keempat 2022 dan Selangor merekodkan kematian tertinggi (109 kematian) manakala satu kematian masing-masing direkodkan di Labuan dan Putrajaya. – MalaysiaGazette