MyJPJ
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penggunaan aplikasi MyJPJ bagi memaparkan maklumat cukai jalan dan lesen memandu yang dilancarkan hari ini bukan diwajibkan kepada semua pengguna jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, aplikasi tersebut merupakan pilihan sahaja untuk mereka yang ingin mendapatkan salinan digital untuk dua dokumen tersebut.

Beliau memberi pencerahan tersebut dalam hantaran Facebook malam ini bagi menjawab pelbagai soalan yang ditanya oleh orang ramai berhubung aplikasi MyJPJ.

Selain itu, katanya, tiada saman akan dikeluarkan bagi pemandu yang tidak dapat memuat turun aplikasi tersebut sekarang dan tidak dapat menunjukkan cukai jalan digital.

“Pihak penguat kuasa boleh mengesahkan status cukai jalan dan lesen melalui sistem dalam peranti penguatkuasaan,” jelasnya.

Anthony turut mengingatkan cukai jalan dan lesen memandu masih perlu dibayar selepas tempoh sah tamat walaupun pelekat tidak perlu ditampal pada kenderaan.

Beliau berharap warga emas yang tidak mempunyai telefon pintar dan pemandu yang berada di kawasan tiada liputan internet tidak bimbang.

“Format digital bukan diwajibkan. Masih boleh dapatkan pelekat cukai jalan dan lesen fizikal dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya perlu,” katanya.

Anthony menambah, sekiranya yang memandu kenderaan bukan pemiliknya, pemandu boleh mencetak cukai jalan digital dan menyimpannya di dalam kenderaan.

“Namun kalau tak dapat tunjuk bukti pun, bukan satu kesalahan… pihak penguat kuasa akan semak butiran dalam peranti mereka,” jelasnya.

Berhubung kesukaran orang ramai untuk mendaftar masuk MyJPJ sejak pagi tadi, beliau memberitahu, masalah itu berlaku ekoran trafik yang sangat tinggi apabila ramai orang ingin mendaftar masuk pada masa yang sama.

Anthony tahu  banyak lagi persoalan yang dibangkitkan oleh orang ramai dan pihaknya akan memberi penerangan yang sejelas-jelasnya.

Beliau juga sedar bahawa dalam apa sahaja proses perubahan, ia akan mengambil masa untuk disesuaikan dan ada pihak yang tidak setuju dengan perubahan tersebut.

“Saya menghormati semua pandangan dan cuba menguruskan perubahan sebaik mungkin

“Saya bersama pasukan saya di Kementerian Pengangkutan dan JPJ akan cuba memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul dalam proses perubahan ini. Sama-sama kita menuju ke arah yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tidak perlu lagi papar cukai jalan pada kenderaan – Menteri

1 Komen

  1. Dari jam 8 malam sampai jam 1.42 pagi..nak semak Lesen pakai MyJPJ asyik connection error jaaa…padahal pakai Wifi fiber….bukam nak settle kan isu yg lebih penting mcm pemandu mabuk bunuh orang…isu yg remeh temeh duk sibuk…

Comments are closed.