MELAKA – “Kami masih menaruh harapan, namun reda dengan sebarang ketentuan Tuhan.”
Itu kata Andy, 28, abang kepada anggota komando Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang hilang ketika menjalani latihan selam di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan, petang Selasa lalu.
Menurutnya, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari keempat hari ini, keluarganya masih mendoakan keajaiban atau setidak-tidaknya jasad anak bongsu daripada 10 beradik itu dapat ditemukan.
Menceritakan perwatakan adiknya itu, Andy berkata, Edrin sangat mengutamakan keluarga malah ada memindahkan sejumlah wang kepadanya pada Januari lalu untuk bayaran bil utiliti rumah ibu bapa mereka di Tongod, Sabah.
“Walau sesibuk mana pun dia mengikuti latihan komando, dia tetap akan menghubungi kami dan kali terakhir adalah melalui panggilan video awal bulan lalu sebelum mengikuti latihan selam.
“Kali terakhir kami 10 beradik berkumpul adalah pada majlis perkahwinan kakak kami pada 22 Mei tahun lalu dan ketika itu Edrin mendapat pelepasan cuti selama empat hari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini .
Bercerita lanjut, Andy yang merupakan anak kesembilan berkata, dia mengetahui mengenai berita kehilangan adiknya itu kira-kira pukul 4 petang Selasa lalu melalui aplikasi Whatsapp.
“Sebaik sahaja dapat berita itu, saya terus menghubungi sepupu yang juga bertugas di kem sama adik iaitu di Kem Iskandar, Mersing bagi mendapatkan pengesahan.
“Sepupu mengesahkan insiden itu membuatkan kami empat beradik termasuk abang yang juga seorang askar dan sedang mengikuti kurus di Semenanjung berkumpul di Kem Sungai Udang bagi mengikuti perkembangan kehilangan Edrin,” katanya.
Tambahya, kedua ibu dan bapanya bagaimanapun masih berada di Sabah dan hanya mengikuti perkembangan kejadian ini dari kampung.
Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan Lans Koperal Edrin yang bertugas di Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor hilang pada jam 5.15 petang ketika sedang menjalani latihan selam di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Turut bersama mangsa ketika kejadian adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang Melaka. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Malaysia minta bantuan Indonesia cari komando dikhuatiri lemas