MELAKA – Malaysia meminta kerjasama Indonesia bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) komando tentera darat, Lans Koperal Edrin Baintin, 25, yang dikhuatiri lemas petang Selasa lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC), Putrajaya telah memaklumkan perkara itu kepada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia sekiranya mangsa dijumpai di perairan negara itu.
Menurutnya, ia selepas usaha SAR yang memasuki hari ketiga hari ini masih tidak menemui mangsa walaupun usaha pencarian dipecahkan kepada lapan sektor bagi aset di laut dan dua sektor bagi aset di udara.
“MRCC telah memaklumkan kepada BASARNAS, Indonesia bagi membantu operasi ini kerana kerana terdapat kemungkinan mangsa telah dihanyutkan ke perairan negara jiran itu.
“Kemungkinan ini berdasarkan data dan maklumat Search and Rescue Optimal Planning System (SAROPS),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, sebanyak 18 aset telah diatur gerak ke lokasi pencarian terdiri daripada 15 aset laut dan tiga aset udara dengan kekuatan 175 orang anggota dari pelbagai agensi.
Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan Lans Koperal Edrin yang bertugas di Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor dilaporkan hilang pada jam 5.15 petang ketika sedang menjalani latihan selam di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Turut bersama mangsa ketika kejadian adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang Melaka.
Antara agensi terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Angkatan Pertahanan Awam Malaysa (APM), Pasukan Marin Wilayah 2 Melaka dan Jabatan Perikanan Negeri Melaka selain dibantu Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM) yang menyediakan kemudahan pusat operasi SAR di Pulau Besar.
MPPM yang turut menyediakan bot kepada petugas media bagi melakukan tinjauan SAR di pusat operasi Pulau Besar diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MPPM Azhar Yaacob selain disertai Timbalan Pengarah Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Nawar Abdul Karim.
– MalaysiaGazette.