Penjawat awam mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan satu platform untuk rakyat disediakan bagi respon terhadap perkhidmatan kerajaan secara digital.

Menurut presidennya, Datuk Adnan Mat, respon berkenaan akan dijadikan petanda aras kepada pencapaian prestasi perkhidmatan kementerian dan jabatan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, respon yang diberikan perlu sahih dan bukan tuduhan atau khabar angin semata-mata.

“Ia perlu disokong dengan fakta dan bukti bagi memastikan keaslian respon rakyat itu benar-benar ditangani dengan efektif oleh pihak yang bertanggungjawab. Respon ini juga dapat dijadikan sebagai salah satu kayu ukur kepada pencapaian sesebuah kementerian/jabatan. Ia juga perlu diaudit agar pelaporan pencapaian adalah seimbang dengan realiti semasa di lapangan.

“CUEPACS percaya banyak lagi pendekatan yang boleh kita perhalusi untuk diketengahkan di peringkat kementerian/jabatan bagi mendapatkan platform terbaik agar ia benar-benar memberi makna kepada rakyat dalam berurusan dengan perkhidmatan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, cadangan berkenaan selari dengan saranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk memastikan Indeks Prestasi Utama (KPI) Ketua Jabatan bagi setiap kementerian atau jabatan dilaksanakan secara realistik dan telus dalam masa yang sama perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dirasai dan menyentuh keperluan rakyat.

Selain itu Adnan berkata, cadangan pemantauan menerusi ‘turun padang’ juga antara salah satu cara mendapatkan respon pantas daripada rakyat.

Namun pendekatan berkenaan perlu dilaksanakan tanpa menganggu perjalanan operasi penyampaian perkhidmatan.

“Ia perlu seimbang. Oleh itu, pendekatan secara menyeluruh perlu diambil bersama-sama rakyat sebagai pihak ketiga atau NGO yang berkeupayaan menjadi mata dan telinga kepada agensi masing-masing. Kerjasama ini sekaligus dapat mempercepatkan penyelesaian terhadap isu rakyat,” tambahnya.

CUEPACS, katanya, turut mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan sistem ganjaran kepada penjawat awam yang terlibat dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, pekerja yang tidak memenuhi KPI wajar menerima hukuman setimpal.

“Jika fail-fail kes urusan perkhidmatan dapat dibuat melebihi KPI ditetapkan akan dapat ganjaran dari aspek cuti dan trip yg menarik atau sebagainya.

“Akhirnya semangat kerja berubah dan hasil lebih pantas. Tapi pada masa yg sama yang tidak penuhi KPI akan terima punishment atau hukuman,” kata Adnan lagi.- MalaysiaGazette