Aishah tidak putus berharap dan berdoa anggota keluarganya yang masih terperangkap dapat dibawa keluar dengan selamat. Foto di Kahramanmaras, Turkiye. FAREEZ FADZIL, 10 FEBRUARI 2023.

KAHRAMANMARAS, Turkiye – Kesan kemusnahan akibat bencana gempa bumi di bahagian selatan Turkiye sukar digambarkan.

Sehingga Jumaat gegaran sekuat 7.7 dan 7.8 richter Isnin lalu telah memakan korban melebihi 20,000 korban di Turkiye dan mencedera hampir 100,000 mangsa.

Angka sebenar di bahagian utara Syria pula dilaporkan melebihi 3,553 orang.

Skala kemusnahan akibat gegaran di Turkiye dikatakan seluas 99,363 kilometer persegi, lebih daripada keluasan Hungary, kini menjadi satu lagi ujian besar kepada pentadbiran Presiden Recep Tayyibb Erdogan.

Tumpuan dunia kini tertumpu kepada usaha mencari dan menyelamat terhadap mangsa yang dilaporkan masih ramai terperangkap.

Pengalaman berada di “ground zero” di bandar Kahramanmaras ibarat kembali ke zon perang. Bandar yang satu ketika dahulu gah dengan keadaan perbandaran moden teratur sebahagiannya ranap menyembah bumi.

Kemusnahan infrastruktur tidak sama dengan trauma mereka yang kehilangan anggota keluarga, tercedera hatta menjadi mangsa kepada bencana gempa yang diibarat paling teruk.

Antara kesan gempa bumi yang meranapkan bangunan-bangunan di Kahramanmaras, Turkiye. Foto FAREEZ FADZIL, 10 FEBRUARI 2023.

Ramai meletakkan harapan walaupun semakin tipis untuk menemui mangsa yang terselamat.

Husli Kara, salah seorang daripada mereka, sehari pun tidak berganjak daripada sisa runtuhan.

Dalam keadaan yang tenang, dia menzahirkan harapan paling tidak adiknya bersama empat anak-anak ditemui.

Sebelum ini katanya, suara anak-anak buahnya kedengaran tetapi kini sunyi!

“Keadaan amat buruk, sehingga sekarang tiada siapa membawa budak-budak itu keluar.

“Kami tidak tahu hendak menolong mereka, sekarang semua bandar runtuh, kami tidak tahu untuk meneruskan hidup dan berdoa kepada Allah untuk membawa mereka keluar.

“Sampai sekarang kami berharap mereka dapat bertahan sehingga seminggu” kata Husli dengan penuh harapan.

Kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa pada hari kelima runtuhan bangunan akibat gempa bumi yang berlaku ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kahramanmaras, Turkiye. Foto FAREEZ FADZIL, 10 FEBRUARI 2023.

Selangkah di depannya duduk nenek tua bersama ahli keluarga yang lain.

Ketika didekati, wanita yang dikenali sebagai Aishah sudi ditemuramah.

Namun ketika ditanya mengenai mangsa dia gagal mengawal emosi.

“Kami perlukan orang untuk membawa mereka keluar selepas enam malam berada di bawah runtuhan, kami tidak tahu mereka hidup atau mati” katanya sebelum temuramah terpaksa dihentikan.

Inilah realiti di lapangan.- MalaysiaGazette