Dr. Mazliham Mohd. Su’ud (kiri) dan Tan Aik Keong bertukar-tukar dokumen perjanjian pada Majlis Menandatangani MoA di MMU Cyberjaya pada 31 Januari 2023.

CYBERJAYA – Universiti Multimedia (MMU), universiti yang mempelopori pendidikan teknologi maklumat dan multimedia kreatif, telah memeterai Perjanjian Persetujuan (MoA) dengan Agmo Holdings Berhad bagi menubuhkan sebuah ruang inovatif dalam kampus MMU.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud, Presiden MMU dan Tan Aik Keong, Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Holdings Berhad di kampus MMU, baru-baru ini.

Ruang inovatif yang dinamakan sebagai Agmo-Space itu, dilengkapi dengan kemudahan berteknologi canggih seperti peralatan Non-Fungible Tokens (NFT), Virtual Reality (VR), Augmented Reality (AR), Extended Reality (XR), dan sebagainya yang menjadi tarikan kepada pengunjung dan pengguna ruang ini.

Mengulas mengenai perjanjian itu, Mazliham berkata: “Sebagai universiti berstatus Premier Digital Tech Institution, MMU menyifatkan kerjasama ini sebagai kesinambungan proses digitalisasi terhadap universiti bagi memperkukuhkan lagi kedudukan MMU dalam era digital.”

Teruja dengan hasil MoA itu, katanya, Agmo-Space akan menjadi ruang inovatif pertama yang ditubuhkan oleh alumni MMU dalam kampus, dan ia akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan teknologi masa depan dan menyemai bakat-bakat baharu dalam bidang ini.”

MMU muncul sebagai antara universiti terawal menerima pengiktirafan status Premier Digital Tech Institution daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sejak 2017.

Sejak ditubuhkan 26 tahun lepas, MMU telah melahirkan kira-kira 70,000 graduan berkemahiran tinggi dan kini MMU secara rasminya adalah salah sebuah universiti yang diiktiraf sabagai institusi terbaik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan teknologi pengkomputeran.

Mazliham berkata, kolaborasi ini adalah salah satu contoh terbaik untuk menggalakkan alumni-alumni MMU yang lain untuk turut memberi sumbangan kepada MMU dan masyarakat menerusi inovasi yang berkualiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast