CUEPACS Melayu gaji Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terkilan dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang mendakwa kononnya sektor perkhidmatan awam di negara ini didominasi oleh orang Melayu.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, wakil rakyat tersebut telah membuat kenyataan terbuka tanpa mendapatkan sebarang maklumat yang tepat daripada kerajaan mengenai situasi sebenar dalam perkhidmatan awam.

“Apatah lagi beliau juga merupakan salah seorang daripada wakil rakyat daripada parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini.

“Kenyataan wakil rakyat tersebut mengenai dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam adalah satu tuduhan yang berat dan tidak berasas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jumaat lalu, Ramasamy dilaporkan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Adnan menambah, perkhidmatan awam selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti yang didakwa oleh wakil rakyat tersebut.

Beliau memberitahu, CUEPACS ingin menegaskan bahawa pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“SPA tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu.

“Sebaliknya, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam adalah bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri,” jelasnya.

Adnan berkata, permohonan pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama.

“Tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat?” katanya.

Menurut beliau, sebagai wakil rakyat, Ramasamy sepatutnya memberi kesedaran kepada rakyat mengenai peluang kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam supaya pelbagai kaum berminat atau mengetahui peluang kerjaya tersebut.

Adnan memberitahu, CUEPACS mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk memberi pandangan dan idea untuk membangunkan lagi sektor perkhidmatan awam agar lebih ramai kaum-kaum lagi berminat untuk menyertai.

Bagaimanapun, beliau berkata, pandangan dan idea tersebut tidak sepatutnya melukakan mereka yang sedang dan telah berkhidmat untuk negara ketika ini.

“Nasihat CUEPACS kepada semua pihak terutama ahli politik supaya tidak menggunakan perkhidmatan awam hanya untuk kepentingan politik masing-masing,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Adnan berkata, CUEPACS atau mana-mana pihak dalam perkhidmatan awam sendiri tidak pernah pertikaikan sektor lain yang juga didominasikan oleh kaum tertentu.

“Jika wakil rakyat tersebut berniat ikhlas, beliau sepatutnya perlu membangkitkan isu ini yang turut melibatkan kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Selesaikan masalah diskriminasi kaum seperti negara-negara kecil bekas jajahan British macam Qatar, UAE, dan Kuwait amat disukai oleh majority bukan pribumi ada hak asasi warganegara daripada negara-negara asal mereka masing-masing tanpa diberi hak warganegara tempatan walaupun tinggal lama sehingga ke cucu-cicit bayar cukai yang memperkayakan pribumi Pak Arab tersebut politikus Pak Pandir ooii!

Comments are closed.