Erra Fazira

KUALA LUMPUR – Primandona filem, Erra Fazira menceburi bidang baharu dalam kerjaya seninya apabila kini bergelar penyampai radio di Sinar FM bermula 7 Februari lalu.

Pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek itu bergandingan bersama Faliq Hikyle dan Hefny Sahad mengendalikan slot Duo Sinar pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 3 hingga 7 petang.

Pada April tahun lalu, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu pernah menimba pengalaman di stesen sama selama sebulan.

“Saya kembali di Sinar FM. Kali ini tampil trio bersama Falyq dan Hefny. Kami bertiga akan menemani anda setiap Isnin- Jumaat, 3 hingga 7 petang. Jangan lupa tauu,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.

Erra yang mencipta nama menerusi filem Sembilu telah lebih tiga dekad bergiat aktif dalam industri seni.

Dia yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-49 pada 9 Februari lalu menyifatkan tugasan sebagai penyampai radio itu adalah satu cabaran buatnya.

Bagaimanapun, Erra yang juga penyanyi mengakui teruja dan seronok berada di konti radio serta berinteraksi secara langsung dengan pendengar.

“Pencapaian baharu yang terindah buat saya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast