ALOR SETAR – Keperluan membaik pulih sekolah daif di seluruh negara akan dilaksanakan secara adil dan saksama menerusi projek pembangunan yang akan diumumkan kerajaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mempunyai data dan maklumat terperinci berkaitan sekolah daif dan perancangan untuk menyelesaikan isu tersebut yang merupakan antara aspirasi di bawah tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM).
“Kita memang sudah ada senarai itu (sekolah daif) di setiap negeri malah kita sudah ada maklumat secara spesifik sebenarnya sekolah-sekolah daif yang berada pada skala enam dan tujuh. Kemudian dari segi penempatan dan bagaimana kita nak menguruskan itu semua sudah ada.
“Semua negeri ada (sekolah daif) sebab itu saya fikir dengan pengumuman tersebut ia memudahkan kita memberikan tumpuan kepada pembangunan di setiap negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Wakil Sekolah Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di sini, malam tadi.
Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam yang dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan menyelesaikan segera masalah sekolah daif di seluruh Malaysia demi kebajikan anak-anak, sekali gus meningkatkan mutu pendidikan negara.
Fadhlina berkata, pembangunan sekolah daif di seluruh negara akan dilaksanakan secara berfasa dan fasa yang paling penting adalah selepas Bajet 2023 dibentangkan pada 24 Feb ini.
“Jadi jangan risau apabila sudah ada jaminan begitu, saya rasa lebih mudah untuk kita melaksanakan pembangunan kerana penting untuk kita pastikan soal keselamatan kanak-kanak di sekolah, akses pendidikan yang berkualiti dan fasiliti ini mesti selamat untuk kanak-kanak berada di sekolah,” katanya.
Mengulas mengenai arahan perdana menteri agar KPM membuka ruang kepada pelajar dan kakitangannya menyatakan pandangan kepada kerajaan, Fadhlina berkata, pihaknya menyambut baik perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima pandangan atau kritikan yang konstruktif kerana ia penting untuk membantu membina pendidikan negara yang lebih kukuh.
“… tetapi kalau kritikan itu destruktif ia akan merobohkan banyak perkara yang telah pun kita bina. Jadi saya sambut baik dan saya fikir ini adalah antara ruang yang selamat kalau kita boleh kritik secara konstruktif dan seterusnya berbincang untuk membina pendidikan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya. – Bernama