Dr. Mahathir Mahathir dan Mukhriz.- foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Selepas tiga hari kemelut dalaman berlaku dengan Parti Pejuang Tanahair, presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan ‘air yang dicincang,, tak akan putus’.

Peribahasa berkenaan membawa maksud perselisihan antara kaum keluarga tidak akan kekal lama dan akhirnya pasti akan berbaik semula.

Mukhriz dalam ciapan di Twitternya bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut.

Namun pada Jumaat lepas, bapanya Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama 12 kepimpinan parti itu mengambil keputusan keluar dari Pejuang.

“Air yg dicincang tak akan terputus,” kata Mukhriz dan tidak sampai sejam kemudian beliau membuat ciapan yang memberikan maksud sama dalam bahasa Inggeris, blood is thicker than water.

Dalam satu kenyataan pada 10 Februari lalu, bekas Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkongsi notis keputusan 13 pemimpin Pejuang keluar parti diberikan kepada Setiausaha Agung Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah.

Keputusan itu dibuat berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

“Keputusan Pejuang memutuskan hubungan dengan GTA, secara langsung menyingkirkan kami daripada kekal sebagai ahli apabila kami bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.

“Bagi kami, matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang berprinsip serta berpegang kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.

“Atas kesedaran ini, kami memilih untuk meneruskan perjuangan itu melalui GTA,” menurut notis berkenaan yang ditandatangani 13 ahli Pejuang.

Sebelum ini, perwakilan Pejuang mengumumkan tarik diri daripada GTA, pada mesyuarat agung kedua parti itu, 14 Januari lalu.

Mukhriz  dipetik berkata, keputusan itu juga membolehkan Pejuang mempunyai sedikit masa untuk mengukuhkan parti dalam banyak perkara sebelum ia benar-benar dapat memberi nilai tambah kepada mana-mana parti dalam gabungan berkenaan.

Dr. Mahathir menubuhkan GTA yang turut dianggotai Pejuang pada 4 Ogos tahun lalu untuk menentang UMNO pada PRU15.

Gerakan itu menggabungkan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan profesional.

Sementara Pejuang turut ditubuhkan Dr. Mahathir selepas tidak lagi bersama Bersatu pada Ogos 2020.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang pada Disember tahun lalu.

Pada PRU15, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal meraih sebarang kemenangan meskipun meletakkan calon di 125 kerusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast