PHILADELPHIA – Kilang Mars Wrigley di bandar Elizabethtown didenda selepas dua pekerjanya terjatuh ke dalam tong coklat dan terpaksa diselamatkan.
Syarikat coklat itu didenda lebih daripada AS$14,500 oleh Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Amerika Syarikat (AS).
Insiden itu berlaku apabila pekerja yang diupah untuk membersihkan tangki tidak mempunyai latihan keselamatan yang sempurna.
Akibatnya semasa membuat kerja-kerja itu, pekerja-pekerja tersebut terjatuh ke dalam tangki yang digunakan untuk mencampur bahan – untuk coklat Dove, jenama yang dijual di AS.
Mangsa adalah pekerja kontraktor yang bukan bekerja sepenuh masa untuk kilang tersebut.
Insiden itu berlaku pada Jun tahun lalu.
Satu lubang terpaksa dipotong di bahagian bawah tangki coklat untuk mengeluarkan mangsa.
Pihak berkuasa menyifatkan insiden itu ‘serius’.
Di United Kingdom dan tempat lain, Dove dijual dengan nama Galaxy.
Mars dan Wrigley – kedua-duanya pembuat manisan di AS, masing-masing berusia lebih satu abad – ia kemudian bergabung pada tahun 2008.
Selain Dove, syarikat itu mengeluarkan beberapa gula-gula popular seperti M&Ms, Snickers dan Twix. – Agensi