Keadaan nahas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Kampung Sri Mawar, Serkam, Jasin, Melaka pagi tadi yang mengorbankan dua wanita .

JASIN – Dua wanita maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Kampung Sri Mawar, Serkam di sini pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, kedua-dua mangsa adalah pekerja sebuah kilang elektronik di Batu Berendam.

Komander Operasi dari Balai Bomba Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hamdan Sudin berkata, sepasukan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 7.45 pagi.

“Sebaik sahaja pasukan keluaran operasi (PKO) tiba lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Altis, Nissan Almera dan sebuah motosikal Yamaha Y15.

“Terdapat empat mangsa iaitu dua wanita menaiki Nissan Almera meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi mangsa adalah lelaki iaitu pemandu yang tersepit di dalam Toyota Altis dan penunggang motosikal yang cedera ringan diberi rawatan awal oleh anggota bomba. – MalaysiaGazette.