Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama timbalannya, Fuziah Salleh menunjukkan Menu Rahman pada majlis pelancarannya anjuran Persatuan Restoran Muslin Malaysia (Presma) di Restoran Nasi Kandar Stadium Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tempoh hayat Inisiatif Menu Rahmah terpulang kepada pemain industri sama ada mereka mahu meneruskannya atau tidak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sama ada tawaran menu untuk membantu golongan B40 itu hanya akan bertahan tiga bulan sahaja.

Jelasnya, inisiatif tersebut dilaksanakan secara sukarela oleh restoran-restoran yang terpanggil untuk membantu golongan memerlukan.

“Selagi mana mereka (pemain industri) akan teruskan sepanjang itulah dapat diberikan (Menu Rahmah diteruskan). Terpulang kepada pemain industri.

“Kalau mereka menganggap ini bukan satu cara untuk raih keuntungan lebih besar tapi lebih kepada memberi makanan kepada memerlukan, saya rasa tempoh ini dapat  perhatikan daripada masa ke semasa.

“Mereka bebas menyertai secara sukarela dan buat masa ini kita tidak akan gunakan duit hasil kerajaan,” katanya ketika sidang media selepas hadir ke Restoran Nasi Kandar Stadium di Cheras hari ini bagi meninjau Restoran India Muslim yang turut menyahut seruan kerajaan menawarkan Menu Rahmah.

Sementara itu, Salahuddin berkata, inisiatif tersebut bukan satu-satunya petunjuk prestasi utama (KPI) untuk kementerian dalam memastikan kerajaan dapat membantu rakyat menangani kos sara hidup.

“Kita tidak mengambil ini sebagai KPI kita, yang penting saat ini kerajaan khususnya KPDN mahu mengambil pendekatan supaya tidak ada rakyat berlapar,” tambahnya.

Sementara itu, Salahuddin tidak menolak inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan baru-baru ini merupakan kesinambungan daripada menu bajet.

Katanya, ia merupakan usaha baik yang tidak patut dinafikan dan wajar dilanjutkan.

“Saya tidak menafikan usaha lepas yang baik, saya melanjutkan lagi usaha yang baik. Kami tidak pernah cemburu dengan usaha yang baik.

“Mungkin selepas ini ada orang ambil inisiatif nak namakan bukan Menu Rahmah tidak apa (teruskan tapi tukar nama) asalkan perut rakyat berisi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Salahuddin memaklumkan KPDN bakal mengadakan Jelajah Menu Rahmah ke setiap negeri bagi melihat sambutan inisiatif berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast