TikTok

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) digesa memberikan penjelasan mengenai peraturan baharu yang dikenakan terhadap aplikasi TikTok.

Menurut penganalisis politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim, peraturan baharu itu amat janggal dan tidak tidak mempunyai tafsiran yang jelas mengenai maksud ‘laporan boleh dibuat kepada TikTok sekiranya seorang selebriti atau pegawai kerajaan telah dibuli atau diganggu.’

“Ramai pemain TikTok yang akaun mereka disekat atau digantung kerana regulasi baru ini. Rakyat tertanya samada regulasi ini dibuat atas nasihat dari KKD kerana penjelasannya tidak terdapat di dalam laman rasmi tiktok global.

“Baru-baru ini, TikTok telah menaikkan terma regulasi yang baru di mana laporan boleh dibuat kepada tiktok sekiranya seorang selebriti atau pegawai kerajaan telah dibuli atau diganggu. Apakah maksud perkara ini, adakah jika kritikan dibuat kepada kementerian dan menteri juga dikira sebagai pembulian dan gangguan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Mohamad Shafiq berkata, setakat hari ini sejumlah 654 orang pemain media sosial aplikasi itu telah menandatangani petisyen di change.org/kebebasanbersuara kerana akaun mereka telah di sekat dan digantung sepanjang Kerajaan Perpaduan terbentuk.

Sekatan dibuat khususnya kepada pelayar-pelayar yang terlibat berkongsi video tuntutan pengeluaran KWSP dan mengkritik berkaitan kenaikan harga barang.

“Perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku di mana hak kebebasan bersuara terjamin di dalam perlembagaan.

“Saya belum pernah mendengar mana-mana Negara mempraktikkan undang-undang samada kementerian atau Menteri dibuli, ini satu perkara yang kelakar yang berlaku dalam Negara. Mungkin menteri sekarang merasa muram dan mempunyai tekanan psikologi yang teruk kerana dibuli oleh rakyat,” katanya lagi.

Mohamad Shafiq Abdul Halim
Mohamad Shafiq Abdul Halim

Justeru itu, KKD digesa dengan kadar segera untuk menjelaskan pelaksanaan peraturan tersebut kerana tidak mahu masyarakat disekat dan tidak mempunyai hak untuk bersuara dan meluahkan pendapat mereka.

“Rakyat hanya perlu akur terhadap saranan dan arahan kerajaan 100 peratus tanpa boleh mengkritik. Walaubagaimanapun regulasi ini tidak dikenakan kepada media sosial yang lain seperti facebook, youtube, twitter dan lain-lain,” katanya lagi.

Menerusi laman web TikTok, pihaknya akan mengalih keluar apa-apa kandungan termasuk video, audio, strim langsung, komen, pautan, atau teks lain yang melanggar apa yang dinamakan ‘Garis Panduan Komuniti’.

Menurut aplikasi tersebut, TikTok akan menggantung atau menyekat akaun dan/atau pengguna yang terlibat dalam pelanggaran yang serius atau berulangan malah TikTok juga mungkin mempertimbangkan tindakan pada platform-platform lain serta tingkah laku di luar talian dalam membuat keputusan ini.

Individu yang menggunakan TikTok juga akan dimaklumkan tentang keputusan itu dan boleh membuat rayuan jika pelayar percaya tiada pelanggaran yang telah berlaku. – MalaysiaGazette