Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR – Cicit kepada pengasas UMNO, Datuk Onn Hafiz Ghazi digesa untuk bertanding bagi perebutan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Calon Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Syed Mohd. Syed Nasir berkata, Onn Hafiz dilihat calon sesuai untuk jawatan itu dalam mengembalikan maruah UMNO yang hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), tahun lalu.

“Dengan pengalaman beliau dalam arena politik, selain darah pengasas UMNO yang lahir dalam tubuh badan menjadinya sebagai seorang yang berkelayakan untuk mengembalikan semula maruah UMNO, khususnya Pemuda.

“Sebagai rakan Pemuda di Simpang Renggam, besar harapan kami agar Onn Hafiz menyahut seruan ini agar UMNO kembali disegani kawan dan lawan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong pada 2013 hingga 2018.

Malah, Onn Hafiz pada masa sama memegang jawatan sebagai Exco Pemuda UMNO serta sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Mengulas lanjut, Syed Mohd berkata, kecemerlangan Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap sebagai seorang pemimpin semakin terserlah selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor tatkala Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti besar pada Mac 2022.

Sebelum itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Mohd. Ariffin Adenan turut menggesa perkara sama berkata, UMNO memerlukan kombinasi kepimpinan terbaik demi survival parti itu.

“Saya cukup kenal dengan insan ini (Onn Hafiz). Maka, saya berpendapat bahawa beliau sememangnya berupaya menggalas tanggungjawab getir tersebut,” katanya. 

Dalam hantaran itu, Mohd. Ariffin menyeru supaya Onn Hafiz menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Onn Hafiz, 44, adalah cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar dan dilantik sebagai Menteri Besar ke-19 pada 15 Mac tahun lalu. – MalaysiaGazette