Gambar hiasan

 

ALTERNATIF kepada masalah praktikal manusia hari ini adalah dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan atau yang lebih canggih disebut sebagai artificial intelligence (AI). Secara umumnya, kecerdasan buatan adalah kemampuan untuk menilai, mensintesis dan membuat kesimpulan pintar sebagaimana tahap kepintaran manusia. Perkembangan semasa dan inovasi terkini telah menjadikan dunia hari ini seolah-olah berlari dengan sangat
pantas.

Dijangkakan teknologi baharu berasaskan kecerdasan buatan akan mewarnai dunia pad masa hadapan. Jelas, permintaan ini dipacu oleh kecenderungan manusia pada hari ini untuk mencari solusi yang lebih pantas dan efisien bagi setiap aktiviti harian. Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa teknologi kecerdasan buatan ini juga sangat popular dan memberikan pengaruh yang sangat signifikan dalam dunia akademik hari ini.

Pelbagai tugasan dan kerja-kerja akademik pelajar dan tenaga pengajar akan menjadi lebih mudah dan lebih menarik dengan bantuan kecerdasan buatan ini.
Sebagai contoh, hari ini terdapat lambakan aplikasi kecerdasan buatan yang memberikan fokus kepada pembangunan aplikasi penjanaan teks. Keghairahan serta keterujaan terhadap penggunaan aplikasi kecerdasan buatan ini telah menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan ahli akademik.

Terdapat kritikan yang menyeru agar pembangun aplikasi kecerdasan buatan ini mengambil langkah-langkah yang bersesuaian sebagai usaha mengurangkan kesan negatifnya kepada dunia akademik. Di Amerika, terdapat institusi pendidikan yang telah mengharamkan aplikasi kecerdasan buatan seperti ChatGPT dalam rangkaian dan peranti dalaman mereka. Ini disebabkan oleh kebimbangan terhadap kesan buruknya kepada sistem pembelajaran pelajar.

Tambahan pula, ia juga akan memberikan kesan yang sangat kritikal berkaitan dengan ketepatan kandungan yang dihasilkan oleh aplikasi berkenaan. Selain itu, terdapat juga universiti tempatan dalam negara yang telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengekang kesan negatif yang bakal diterima. Alasan utamanya adalah kerana aplikasi kecerdasan buatan ini akan menjadikan seseorang itu amat mudah untuk menjalankan perbincangan atau perkongsian dengan jawapan berpandukan kepada jawapan yang meragukan dan kurang tepat.

Antara manfaat aplikasi kecerdasan buatan ini kepada ahli akademik adalah, aplikasi ini secara umumnya tersedia pada bila-bila masa tanpa had untuk melaksanakan tugasan. Ini kerana aplikasi ini boleh berfungsi sepanjang masa tanpa gangguan dan memerlukan masa yang khusus untuk berehat.

Selain itu, ralat dalam operasi manual juga akan dapat dikurangkan dan ditambah baik. Ciri-ciri kecerdasan buatan mampu membuat keputusan berdasarkan kepada analisa maklumat yang telah dikumpul dalam proses sebelumnya dengan menggunakan set algoritma tertentu.

Dunia akademik juga tidak terkecuali dalam berhadapan aktiviti dan tugasan seharian yang berlaku secara berulang-ulang. Contohnya, segala persoalan pelajar yang berulang-ulang akan dapat dijawab dengan pantas. Selain itu, ia juga sangat membantu dalam membuat keputusan dan menghasilkan tindakan dengan lebih cepat seperti yang telah diprogramkan khusus untuk aktiviti melibatkan akademik.

Sudah pasti, evolusi aplikasi kecerdasan buatan ini akan terus berkembang maju dan tentunya akan menghasilkan lebih banyak inovasi-inovasi baharu yang akan dapat dimanfaatkan oleh akademia. Lambakan aplikasi kecerdasan buatan ini memerlukan para akademia menjadi lebih kreatif dalam menyiapkan tugasan dengan pantas berdasarkan kepada maklumat yang tepat dan sahih. Jelas, kecerdasan buatan ini juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri.

Antaranya adalah para akademia menjadi semakin malas dalam tugasan dan aktiviti harian mereka akibat ketagihan dan kebergantungan kepada kecerdasan buatan. Sudah pasti universiti akan menghasilkan generasi akademik yang berbeza berbanding sebelumnya. Sudah tentu ia akan mendatangkan masalah baharu kepada generasi ini. Kebergantungan kepada kecerdasan buatan yang berlebihan akan merencatkan kemahiran penyelesaian masalah di luar kotak. Ini kerana aplikasi kecerdasan buatan hanya bertindak berdasarkan kepada tugas-tugas yang telah diprogramkan.

Jelas, kecekapan buatan merupakan sistem yang sangat kompleks dan memerlukan kos yang sangat besar. Kebanyakan aplikasi kecerdasan buatan yang tersedia secara percuma sangat mudah diperolehi ketika ini. Situasi ini mungkin akan berubah pada masa hadapan di mana pihak pelabur akan cuba untuk mendapatkan semula kos yang telah dikeluarkan dalam membangukan aplikasi kecerdasan buatan berkenaan.

Rumusannya, aplikasi kecerdasan buatan telah banyak memberikan bermanfaat yang besar kepada kehidupan manusia hari ini khusus dalam dunia akademik. Sudah pasti dunia akademik akan berubah secara drastik dan tidak seperti dahulu lagi. Kebergantungan terhadap aplikasi kecerdasan buatan dalam dunia akademik memerlukan suatu mekanisma yang khusus dalam mengawal atau menyelia penggunaannya. Manfaatkanlah aplikasi kecerdasan buatan yang tersedia dengan bijak dan penuh hikmah.

Waspada agar jangan sampai empati hilang dalam melaksanakan tugasan dan aktiviti akademik. Semoga teknologi kecerdasan buatan yang ada hari ini tidak menjadi penyebab utama kepada kemusnahan tamadun manusia dan bermulanya era penghambaan tamadun di masa hadapan.

Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni,
Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak