Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPVPP) mengesahkan 68,659 ekor babi di negeri ini dijangkiti penyakit African Swine Fever (ASF).

JPVPP dalam satu kenyataan berkata, jangkitan itu membabitkan 30 ladang babi komersial iaitu dua ladang di Daerah Seberang Perai Tengah; Barat Daya (3), Seberang Perai Utara (6) dan Seberang Perai Selatan (19).

Bagaimanapun, katanya, penemuan karkas babi dengan tanda-tanda klinikal seperti penyakit ASF di rumah sembelih semakin berkurangan selain tiada aduan kematian babi yang tinggi di ladang babi.

“Bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, JPVPP menjalankan polisi ‘stamping out’ menerusi pemusnahan babi di ladang positif atau disyaki terjangkit dalam zon jangkitan dengan berpandukan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) bagi penyakit ASF.

“Polisi ini diamalkan dengan tujuan menghapuskan virus agar penternak dapat menternak semula dengan selamat serta bebas daripada penyakit ASF sekali gus menjamin bekalan daging babi dalam negara mencukupi,” katanya hari ini.

Menurut JPVPP, langkah pemusnahan dijalankan sejak 5 Januari lepas apabila kes pertama ASF dikesan dan kini, kadar perebakan penyakit dilihat semakin perlahan.

“Kedah ‘stamping out’ yang dijalankan memberi kesan yang amat baik dan hingga hari ini, sebanyak 14,385 ekor babi telah dilupuskan daripada 16 ladang.

“Bekalan daging babi di seluruh negeri mencukupi dengan kadar sara diri (SSL) masih melebihi 100 peratus iaitu terdapat 94 ladang babi negatif ASF dengan 198,586 ekor babi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, JPVPP berkata, bagi meringgankan beban penternak pihaknya telah menghantar permohonan wang ehsan bagi 10 ladang babi yang telah selesai proses pelupusan sepanjang bulan Januari lalu kepada pihak Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV) di Putrajaya untuk di angkat ke peringkat kerajaan persekutuan.

“Kita amat bersimpati ke atas nasib para penternak yang terkesan dengan penyakit ASF ini memandangkan perkara ini melibatkan kerugian yang amat besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast