Tertuduh, Norsham Ahmad, 51, membuat pengakuan itu sejurus kesemua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

MELAKA – Seorang lelaki yang didakwa tonto mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas 43 tuduhan menerima suapan berjumlah RM101,625 daripada 10 syarikat pengangkutan lori sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Norsham Ahmad, 51, membuat pengakuan itu sejurus kesemua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM101,625 daripada 10 syarikat pengangkutan lori sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh yang kini bekerja sendiri dikatakan menerima suapan menerusi transaksi atas talian di tiga akaun miliknya dan anak selain seorang lagi individu.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima lokasi di Masjid Tanah, Alor Gajah, Ayer Keroh, Bukit Baru dan Malim Jaya, Melaka antara 16 Januari 2016 hingga 13 Mac tahun lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Asyraf Mohamad Tahir manakala tertuduh diwakili Peguam Fahmy Sulaiman.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM45,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Elesabet turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport perjalanan antarabangsa kepada mahkamah selain melaporkan diri di Pejabat SPRM negeri sekali setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 11 April ini. – MalaysiaGazette