Pemain Malaysia, Corbin Ong meraikan gol ketiga Harimau Malaya ketika menentang Turkmenistan pada perlawanan bola sepak dalam aksi kelayakan kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2022.

PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu jawapan berhubung perancangan mengadakan aksi persahabatan antara Malaysia dan pasukan nombor satu Asia, Jepun pada jendela perlawanan antarabangsa September depan.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, dalam pada itu skuad Harimau Malaya yang akan beraksi dua perlawanan dalam tempoh itu, sudah hampir pasti akan menguji kekuatan menentang Hong Kong.

Beliau berkata, sebuah lagi pasukan belum dimuktamadkan dengan Jepun, yang juga juara Piala Asia terbanyak dengan rekod empat kali antara yang berada dalam senarai, selain Taiwan, China dan Uzbekistan.

“Pada September ini kita akan bermain dua perlawanan di luar, kemungkinan bermain dengan Hong Kong yang sudah hampir pasti…mungkin juga lawan Taiwan (dan) kita tengah minta juga antara Jepun, China dan Uzbekistan.

“Kita masih tunggu jawapan, selepas saya berhubung dengan kesemua presiden (persatuan bola sepak masing-masing). Mereka akan muktamadkan perkara ini selepas bercakap dengan ketua jurulatih masing-masing,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hamidin berkata, pada jendela perlawanan antarabangsa paling hampir iaitu pada Mac ini, pasukan negara akan berlatih dan beraksi di gelanggang keramat Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, dengan Turkmenistansah sebagai salah satu lawan pasukan negara.

Beliau berkata, skuad bimbingan Pan Gon seterusnya akan bertemu antara Taiwan dan Kuwait, dengan perkara itu akan dimuktamadkan minggu ini.

“Pada (jendela perlawanan) Jun pula kita akan bermain satu perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim dan satu lagi mungkin di Terengganu, Pahang ataupun Pulau Pinang, untuk beri ruang kepada peminat di sana. Yaman ialah satu pasukan yang sudah pasti, satu lagi antara Syria dan Oman,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai penganjuran Pestabola Merdeka yang dijadual berlangsung pada Oktober, Hamidin berkata, FAM sedang memuktamadkan dua lagi pasukan lawan antara India, Lubnan dan China, selepas Palestin sudah mengesahkan penyertaan mereka selain Malaysia selaku tuan rumah.

“Format kejohanan sama macam Piala Raja Thailand, kita akan main dua perlawanan sebab jumlah itu saja yang dibenarkan,” katanya sambil memaklumkan Malaysia juga akan beraksi dua perlawanan masing-masing pada November dan Disember, sebelum menghadapi Piala Asia 2023 pada Januari 2024.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan siapa lawan pasukan negara pada kedua-dua bulan tersebut.

Hamidin berkata, FAM akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung jadual perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya tahun ini, selewat-lewatnya awal minggu depan. – Bernama