PONTIAN – Belanda dan Australia bakal menjadi negara pelabur baharu yang disasarkan melabur di Johor, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata, ia akan membolehkan Johor mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelaburan di negara ini.
Onn Hafiz berkata, selain itu beberapa syarikat antarabangsa dari Singapura juga menunjukkan minat melabur di Johor hasil lawatannya ke republik itu selama tiga hari, baru-baru ini.
“Terdapat beberapa dan salah satunya ialah daripada Holland. Mereka ada menyebut akan membuka perniagaan mereka di sini dan kemudiannya satu lagi daripada Australia yang melibatkan sebuah pusat data. Ada lagi satu tapi dia masih dalam perbincangan.
“Kerajaan Johor gembira dengan maklum balas amat memberangsangkan sewaktu kami bertemu dengan delegasi antarabangsa di Singapura yang menyatakan minat untuk melabur di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pecah tanah Projek Pembinaan Tangki Simpanan Bitumen di ATB Tanjung Bin, Pusat Petroleum Tanjung Bin, Serkat, di sini, hari ini.
Pusat Perindustrian Petrokimia dan Maritim Tanjung Bin dibangunkan pelabur antarabangsa termasuk dari Belanda dengan modal RM2.4 bilion lebih sedekad lalu bagi mentransformasikan selatan Johor menjadi hab minyak dan gas.
Menurut Onn Hafiz, misi perdagangan ke Belanda dan China akan diadakan dalam masa terdekat bagi menarik pelaburan syarikat antarabangsa ke Johor.
Ketika ditanya mengenai sasaran pelaburan pada tahun ini, Onn Hafiz menyasarkan ia menyamai angka tahun lalu sebanyak RM63.9 bilion. – MalaysiaGazette