Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Drama antara Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang mencetus kontroversi memberi gelaran ‘beruk’ dan ‘kera’  di Dewan Rakyat sebelum ini dianggap selesai hari ini.

Ia apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memaklumkan perkara itu selepas Sany dan Awang mengadakan pertemuan empat mata dan berdamai di pejabatnya semalam.

“Berkaitan isu dibangkit Ahli Parlimen Pendang semalam, saya jumpa di kamar saya Pendang dan Ahli Parlimen Hulu Langat dan ia diselesai dengan baik antara mereka berdua.

“Saya ucap terima kasih, ini contoh ahli Parlimen ada integriti dalam dewan ini,” katanya sebelum sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja mengambil tempat di Parlimen.

Semalam, Awang meminta Johari membuat keputusan perkembangan berhubung isu antara beliau dengan Sany yang tercetus pada sidang Dewan Rakyat tahun lalu.

Pada sesi pembukaan mesyuarat pertama penggal pertama 19 Disember lalu, Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Sany didakwa mengeluarkan perkataan biadap terhadap Awang.

Ia tercetus apabila, Sany bangkit selepas kedengaran Awang berkata “Kami tidak jadi kera lah, Hulu Langat.”

Sany yang tidak berpuas hati dengan kenyataan berkenaan bangun dan menggelarkan Awang sebagai ‘Pendang Beruk’.

“Ehh hang Pendang (Awang Solahuddin) apa? Beruk?… Hang beruk, Pendang Beruk. Dia sebut dulu (kera). Hey, dia sebut dulu kera. Ini satu lagi perangai tak elok,” kata Sany pada sesi perbahasan undi percaya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu.

Awang kemudian menjelaskan perkataan ‘kera’ bukan dituju kepada Sany sebaliknya disalah tafsir oleh Sany dan meminta wakil rakyat PH itu menarik balik tuduhan “beruk” dan memohon maaf. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MGNews: Sany Diberi Amaran Selepas Ganggu Sidang Dewan Rakyat