Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk ke luar negara bagi menghadiri majlis graduasi cucunya, pertengahan bulan ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu memohon supaya pasport beliau yang berada dalam kawalan mahkamah untuk dipulangkan sementara supaya beliau boleh ke London pada 19 Julai dan pulang Ogos depan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, membenarkan pasport diserahkan untuk sementara waktu kepada Muhyiddin selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad memaklumkan, pihaknya tidak membantah permohonan tersebut.

“Pasport akan diserahkan hari ini dan perlu dipulangkan pada mahkamah pada 20 Ogos,” kata Rozina.

Dalam permohonan Muhyiddin menjelaskan cucu beliau telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Pentadbiran Perniagaan) kelas pertama di University of Westminster, London.

Katanya, ini adalah majlis sekali dalam seumur hidup dan ingin menyaksikan dan mengiktiraf kejayaan cucu beliau.

Ketika ini, Muhyiddin sedang berdepan dakwaan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff.

Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast