KUALA LUMPUR – Kempen semasa pemilihan UMNO perlu berjalan positif dan tidak menjerumus kepada serangan antara calon yang bertanding.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, kempen yang negatif hanya akan memberi persepsi buruk kepada parti lawan.
“Malam ini, kita banyak bincang pasal pemilihan yang akan datang. Perkara yang boleh dibuat, yang tidak boleh, macam etika semasa pemilihan boleh berkempen tapi secara positif jangan kempen negatif dan membuka serangan calon lain.
“Bila berkempen secara negatif bukan dalam parti sahaja tengok tapi lawan UMNO pun tengok itu tidak baik,” katanya selepas Mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn.
Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan berlangsung pada 1 hingga 26 Februari ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Bahagian bersama pemilihan EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan MKT akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.
Terkini, beberapa nama sudah menyatakan hasrat bertanding jawatan itu, antaranya Penolong Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan; EXCO Puteri UMNO, Fadhwa Anuar dan Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Dr Maslina Harun.-MalaysiaGazette