GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan mengadakan perbincangan dengan Australia mengenai pengendalian dan pengangkutan selamat untuk menghantar sisa radioaktif dihasilkan Lynas ke negara berkenaan.
Ia susulan mengikut konvensyen antarabangsa yang berkaitan kerana sisa radioaktif tidak berada di bawah skop Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya dan SAM kecewa kerana kerajaan tidak memutuskan pengalihan sisa radioaktif itu ke Australia yang mana ia boleh disimpan di kawasan separa gersang dan terpencil di tapak Mount Weld.
“Kita tidak perlu lagi memikul beban menyimpan sisa radioaktif bagi beberapa generasi akan datang dan kerajaan harus kekal teguh dengan keputusannya serta memastikan Lynas tidak menjalankan sebarang proses yang menjana sisa radioaktif.
“Kerajaan juga perlu memastikan apa yang dihasilkan oleh Lynas setakat ini dikembalikan ke Australia.
“Kita tidak boleh mengabaikan kesan buruk sinaran radiasi tahap rendah kerana ia mungkin tidak menyebabkan masalah kesihatan serta-merta tetapi tetap berbahaya dalam jangka panjang kerana boleh menyumbang kepada risiko kanser secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, pihaknga mengalu-alukan langkah kerajaan yang tidak tunduk kepada tekanan Lynas Malaysia dalam membatalkan syarat kelulusan lesen operasi pada tahun 2020.
Jelas beliau, sarat yang paling penting adalah mengenai peralihan proses pemecahan dan peresapan (C&L) yang membabitkan bahan radioaktif ke luar Malaysia.
“Ia bermakna Lynas hanya boleh menapis bahan itu di kilang Gebeng dan proses C&L pekatan lantanida tidak boleh dilakukan di Malaysia.
“Pembaharuan lesen tiga tahun yang diberi kepada Lynas pada tahun 2020 juga memberi syarat kepada syarikat itu bagi membangunkan kemudahan pelupusan kekal (permanent disposal facility – PDF) untuk sisa radioaktifnya dan tidak lagi mengimport bahan pekatan lanthanid ke Malaysia mulai Julai 2023.
“Sepanjang operasi selama ini, Lynas masih belum menyediakan PDF bagi sisa daripada proses Water Leach Purification (WLP) yang mengandungi sisa radioaktif termasuk torium dan uranium,” kata beliau.
Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dilaporkan berkata, permintaan Lynas untuk menggugurkan empat syarat berkaitan aktiviti cracking & leaching (C&L), penjanaan residu Water Leach Purification (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid daripada Australia tidak dipertimbangkan.
Kata beliau, Lynas tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti yang akan menghasilkan sisa radioaktif di Malaysia selepas Julai 2023. – MalaysiaGazette