Sundar a/l Sivan (kanan) dan Philip Anthony a/l Santhanasamy.

KUALA LUMPUR – Polis memburu dua individu dipercayai melanggar seorang lelaki di kawasan Ambang Botanik, Klang yang menyebabkan kematian pada 12 Februari lalu.

Kedua-dua suspek itu ialah Sundar a/l Sivan, 33, dan Philip Anthony a/l Santhanasamy, 24.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, kaunter aduan Balai Polis Klang telah menerima satu aduan daripada Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada jam 2.15 petang Ahad lalu menyatakan bahawa pada hari yang sama jam lebih kurang 6.30 pagi, seorang lelaki telah di bawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana telah dilanggar oleh kenderaan di kawasan Ambang Botanik Klang.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Hasil siasatan telah dijalankan oleh pihak polis mendapati, kejadian ini berlaku pada 12/02/2023 jam lebih kurang 6 pagi, di mana mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis BMW yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan secara sengaja serta menyeret mangsa lebih kurang 40 meter sebelum melarikan diri.

“Punca kejadian ini disebabkan berlaku selisih faham diantara kedua pihak di sebuah cafe di kawasan Bandar Botanik Klang
sebelum suspek bertindak melanggar mangsa di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Menurut Hoong Fong, hasil pemeriksaan tubuh badan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami luka 5 sentimeter di sebelah kanan belakang kepala menyebabkan pendarahan yang banyak, luka bahagian lengan kiri, ibu jari tangan kanan dan patah tulang rusuk kiri..

Tambah beliau, hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah ‘severe chest and selvic injuries due to stuck by moving vehicle’.

Jelasnya, Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

Susulan daripada itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek untuk menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau
Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Syed Robart Syed Mohd Zain. – MalaysiaGazette