Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dira Abu Zahar berjalan keluar selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar mengesahkan bakal bertanding merebut jawatan Ketua Pergerakan Puteri pada pemilihan parti akan datang.

Beliau yang dikenali sebagai Dira, 38, berkata, dia bakal menghantar borang pencalonan esok.

Kata Dira, beliau sudah menyuarakan hasratnya itu kepada penyandang Ketua Putreri, Datuk Zahida Zarik Khan.

“Pengurusan pemakluman sembah maklum dah selesai dan berjalan dengan lancar. Saya juga sudah  maklumkan kepada Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Pengerusi Perhubungan Negeri saya (Melaka) sendiri iaitu Datuk Ab Rauf Yusoh. Alhamdulillah semua dah maklum,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn, di sini, malam ini.

Ujar Dira, keputusan berkenaan dibuat atas prinsip memperjuangkan demokrasi dalam UMNO dan membawa suara anak muda sehingga ke peringkat kerajaan.

“Saya mahu mengangkat dan memperjuangkan suara anak muda supaya mendapat perhatian serta pembelaan kerajaan di samping mengetengahkan pembaharuan idea dalam UMNO,” ujarnya.

Sementara itu, Dira memberitahu, sehingga kini beliau dimaklumkan seramai empat saingan yang bakal merebut jawatan Ketua Puteri UMNO pada pemilihan itu. – MalaysiaGazette