KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memohon maaf atas sebarang kesulitan berikutan keputusan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran sekali lagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahmad dalam ciapan di Twitter berkata, keputusan itu telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Beliau menjelaskan, simpanan hari tua yang telah susut 50 peratus berikutan kebenaran pengeluaran sebanyak empat kali perlu ditambah.
“Telah diumum #PerdanaMenteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
sebelum ini yang kerajaan tidak bercadang untuk benarkan keluaran @KWSPMalaysia setelah empat kali dibenar ketika Covid19.
“Pandemik sudah hampir selesai, maka simpanan hari tua yang susut 50 peratus atau lebih itu mesti ditambah. Mohon maaf atas kesulitan,” katanya di Twitter.
Beliau dalam Dewan Rakyat semalam berkata, purata simpanan 8.1 juta ahli KWSP membabitkan semua kaum direkod menurun 50 peratus iaitu daripada RM16,600 pada 2016 kepada RM8,100 tahun lalu.
Penurunan tersebut disebabkan pengeluaran RM145 bilion daripada dana simpanan KWSP ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Justeru, katanya, ia menjadi antara sebab mengapa kerajaan tidak lagi membenarkan pengeluaran dilakukan terhadap simpanan KWSP ketika ini.
Beliau turut memaklumkan kesan pengeluaran sama juga menyebabkan purata simpanan tujuh juta ahli Melayu di KWSP menurun kepada RM5,500 ketika ini berbanding RM16,900 pada 2020.
“Bagi ahli Bumiputera lain, median simpanan 1.4 juta ahli sebelum pengeluaran direkodkan adalah RM10,600 dan kini hanya tinggal RM3,300 sahaja.
“Macam mana kita nak benarkan lagi pengeluaran jika (median simpanan ahli) sekarang tinggal hanya RM5,500 dan RM3,300. Itu sebabnya kita tak beri kebenaran (untuk pengeluaran simpanan KWSP), lagi pun Covid-19 sudah selesai,” katanya.
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) sebelum ini mendesak kerajaan untuk membenarkan pengerluaran khas KWSP secara bersasar.
Presiden PGIRM Azmi Mohd Tahir mendakwa, telah menerima aduan seramai 320,000 pencarum KWSP yang terkesan dengan situasi ekonomi ketika ini.- MalaysiaGazette