Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan akan merebut kembali jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Dalam mesej ringkas di media sosial Shahrizat yang juga mesra dipanggil Kak Jat dalam kalangan Wanita UMNO berkata, beliau sayang dan rindu kepada semua ahli sayap UMNO tersebut.

Menggunakan tudung merah sebagai simbol Wanita UMNO, Sharizat mahu pergerakan itu kembali perkasa, bersuara dan relevan.

Tegasnya, Wanita UMNO adalah ibu terbaik kepada bangsa Melayu.

“Bismilahirrahmannirrahim. Tawakal tu Alallah . Kak Ijat dengan ini mengesahkan Kak Ijat akan bertanding jawatan Ketua Wanita Umno Malaysia insyaAllah

“Segalanya ketentuan Allah SWT. Salam sayang dan salam rindu kepada semua ahli Wanita UMNO.

“#TUDUNGMERAH kembali perkasa, #TUDUNGMERAH kembali bersuara, #TUDUNGMERAH kembali relevan, #TUDUNGMERAH ibu terbaik bangsa,” katanya.

Sharizat turut berkongsi klip video pendek dan foto sedang menandatangani borang pencalonan sambil tersenyum.

Media hari ini melaporkan borang pencalonan beliau telah dihantar oleh wakilnya dan diterima oleh urussetia pemilihan parti pada jam 11.30 pagi tadi.

Shahrizat, 70, yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pernah mengetuai pergerakan wanita UMNO selama 10 tahun bermula 2008.

Selain Shahrizat, turut bertanding adalah Datuk Noraini Ahmad yang kini menyandang jawatan tersebut.– MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Shahrizat sah bertanding Ketua Wanita UMNO