Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Antara yang mendapat sambutan di pasaran sekarnag adalah tanah lot yang belum ada geran individu berasingan atau lebih popular dikenali sebagai lot lidi.

Lot lidi merujuk kepada tanah lot yang masih berstatus pertanian dan belum mempunyai geran individu berstatus bangunan tetapi dijual sebagai lot bangunan hanya berdasarkan kepada pelan lakaran yang belum diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, penipuan tanah lot atau lot lidi sebenarnya satu bentuk penindasan dengan cara paling licik.

Malah  ada kalanya mangsa tidak tahu bagaimana hendak menangani penipuan itu dan membiarkan perkara itu begitu sahaja.

“Yang datang jumpa kita dan membuat aduan adalah seorang pasangan suami isteri. Bagaimanapun dakwa mereka, mangsa penipuan lot lidi ini bukan seperti disangka sebaliknya ramai menjadi mangsa. Mungkin mencecah sehingga ratusan orang di program lot lidi di Jenderam, Sepang.

“MHO terpanggil untuk campur tangan dalam isu ini dengan menggesa lebih ramai mangsa supaya tidak gentar sebaliknya bangkit membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi memastikan tindakan tegas diambil dengan kadar segera.

“Wujud syarikat-syarikat tertentu dengan beraninya jual geran kelompok sedangkan golongan ini sendiri tidak memiliki tanah tersebut.

“Hanya dengan membayar deposit, geran kelompok itu dijual oleh penjual yang bukan pemilik tanah. Ketika ini, apa yang sungguh membimbangkan ialah penjualan lot lidi ini seperti sudah menjadi trend,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Hishamuddin, pihaknya akan membuat sidang media secara besar-besaran supaya yang jadi mangsa tampil membuat aduan secara rasmi.

“Jangan biarkan diri atau yang lain-lain menjadi mangsa golongan rakus ini,” katanya lagi.

Difahamkan MHO bersama-sama dengan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) akan membuat laporan polis dan sidang media pada 21 Februari ini bersama sekumpulan mangsa mangsa lot lidi di Jenderam.

Kata Hishamuddin, tindakan tegas dan hukuman setimpal perlu dikuatkuasakan bagi memastikan penjualan lot lidi seperti ini tidak lagi berleluasa pada masa hadapan.

“Bukan hanya di Jenderam sebaliknya saya dengar juga isu lot lidi ini di Sabah, Kedah, Perak, Pulau Pinang. Kita hendak beri kesedaran kepada mangsa-mangsa dan beri pengajaran kepada penipu-penipu lot ini di luar sana.

“Biasanya mangsa buat laporan kepada pihak berkuasa, tindakan yang seringkali dilakukan ialah NFA (no further action) yang menyebabkan mangsa tiada jalan penyelesaian.

“Paling-paling kurang mangsa minta saman syarikat yang bertindak menipu mereka, syarikat itu pula tidak ada aset atau nilai, penipu pula tahu jika kena saman, mereka cuma perlu ‘gulung tikar’.

“Selalunya hanya tindakan sivil sahaja dikenakan bukan jenayah jadi ramai yang berani,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast