Pelajar SMK St Xavier memasuki dewan bagi menduduki peperiksaan SPM 2022 yang bermula hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 19,501 calon di Pulau Pinang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 di 142 pusat peperiksaan yang bermula hari ini. 

Tinjauan Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Xavier, di sini, mendapati, calon mula tiba seawal 7 pagi selain sempat melakukan ulang kaji terakhir bersama rakan masing-masing.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, daripada keseluruhan jumlah calon itu, seramai 17,694 adalah calon di 121 buah sekolah kerajaan.

Lim Hui Ying (kanan).

“Seramai 389 orang adalah calon SPM di tiga buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan 175 calon di lapan Sekolah Agama Negeri (SAN). 

“Selain itu, Pulau Pinang turut merekodkan 1,013 calon persendirian serta 133 calon berkeperluan khas (CBK),” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama peperiksaan SPM 2022 di sekolah St Xavier di sini, hari ini.

Hui Ying meninjau hari pertama peperiksaan SPM 2022 di SMK St Xavier hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 15 buah hospital di lima daerah di negeri ini dijadikan pusat persediaan kepada calon yang berdepan dengan isu kesihatan.

Tambah Hui Ying, seramai lima calon di negeri ini disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin. 

“Kesemua mereka akan menduduki peperiksaan SPM fasa dua nanti,” katanya. – MalaysiaGazette