Shaikh Irsyad Albiari (tengah) nekad menduduki peperiksaan SPM 2022 meskipun tangan kirinya dipercayai retak akibat terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan St Xavier, di sini, nekad menduduki peperiksaan meskipun tangan kirinya dipercayai retak akibat terlibat dalam kemalangan pagi tadi.

Mangsa, Shaikh Irsyad Albiari, 18, yang menunggang motosikal jenis Honda RS itu dikatakan terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Paya Terubong menuju sekolah.

Bapa pelajar berkenaan, Husalmi Suhaini Shaikh Hussin, 47, berkata, dia menerima panggilan daripada anaknya pada jam 7 pagi yang memaklumkan mengalami kecederaan susulan terlibat dalam kemalangan di Farlim iaitu kira-kira tiga kilometer dari kediamannya.

Husalmi Suhaini menunjukkan gambar anaknya terlibat kemalangan di Farlim ketika dalam perjalanan ke SMK St Xavier bagi menduduki peperiksaan SPM 2022 yang bermula hari ini.

Jelas pekerja swasta itu, dia bergegas ke lokasi kejadian selain membawa kit bantuan kecemasan bagi memberikan rawatan awal kepada anak bongsu daripada dua beradik itu.

“Tak dapat nak gambarkan perasaan ketika menerima panggilan tersebut kerana sudah menjadi rutin anak saya pergi sekolah menunggang motosikal secara sendirian selain takut memikirkan dia perlu menduduki peperiksaan SPM dalam tempoh kurang sejam lagi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian dia mengadu pergelangan tangan kirinya mungkin retak sebelum saya berikan rawatan awal termasuk membalut tangannya yang sakit itu.

“Susulan itu, dia meminta saya membawanya ke sekolah bagi menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu dengan mendakwa dia mampu menahan kesakitan selain tangan kanannya masih boleh menulis,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Husalmi Suhaini, mereka sempat tiba di dewan peperiksaan kira-kira jam 7.55 pagi sebelum anaknya itu dipimpin guru memasuki dewan.

“Saya akan membawanya ke klinik kesihatan sebaik dia selesai peperiksaan pada jam 10.15 pagi nanti bagi rawatan lanjut.

“Perasaan gementar itu masih ada sementara tunggu dia selesai menjawab peperiksaan tapi saya bersyukur dia selamat selain masih mampu meneruskan peperiksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast