Rafizi ekonomi
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kenyataan bahawa ‘kemelesetan permintaan dari pasaran buruh kepada golongan belia akibat kenaikan gaji minimum’ hanyalah persepsi semata-mata.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata,berdasarkan laporan didapati tidak berlakunya peningkatan pengangguran dalam kalangan belia akibat kenaikan gaji minimum.

Sebaliknya pelaksanaan gaji minimum menunjukkan pertambahan jawatan dan pengisian jawatan dalam sektor ekonomi.

“Isu pengangguran dalam kalangan belia merupakan satu cabaran yang perlu ditangani, namun bukanlah berlaku akibat daripada kenaikan gaji minimum.

“Kebanyakan negara termasuk negara maju sememangnya mencatatkan pengangguran dalam kalangan belia yang tertinggi berbanding kumpulan umur yang lain,” kata Rafizi dalam Dewan rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib yang bertanya peranan kementerian dalam menangani kemelesetan permintaan dari pasaran buruh kepada golongan belia akibat kenaikan gaji minimum.

Katanya, laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Keempat 2022 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa jumlah penganggur dalam kumpulan umur 15 hingga 24 tahun adalah seramai 299,400 orang.

Jumlah tersebut berkurangan sebanyak 1,900 orang berbanding 301,300 orang yang direkodkan pada suku ketiga 2022.

Pengurangan jumlah penganggur dalam kumpulan ini
membolehkan kadar pengangguran dalam kalangan yang berumur 15 hingga 24 tahun pada suku keempat 2022 berkurangan kepada 10.7 peratus berbanding 10.8 peratus pada suku sebelumnya.

Laporan Skim Insurans Pekerjaan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula menunjukkan bahawa individu dalam kategori umur 15 hingga 24 tahun yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2022 adalah seramai 2,645 orang.

Jumlah berkenaan berkurangan sebanyak 1,341 orang berbanding seramai 3,986 orang yang dicatatkan pada tahun 2021.

Statistik Guna Tenaga yang dikeluarkan oleh DOSM
melaporkan jumlah jawatan dalam sektor ekonomi telah
meningkat kepada 8.76 juta jawatan pada suku keempat 2022 berbanding 8.68 juta jawatan pada suku ketiga tahun yang sama.

Jumlah jawatan yang diisi telah meningkat kepada 8.56 juta jawatan pada suku keempat 2022 berbanding sebanyak 8.49 juta pada suku ketiga 2022.-

Rafizi menegaskan, cabaran utama dalam menangani pengangguran dalam kalangan belia adalah isu ketidakpadanan pekerjaan.

Kerajaan akan terus memperhalusi isu pengangguran dalam kalangan belia dan merangka strategi merentas kementerian bagi mengurangkan pengangguran golongan tersebut termasuk menangani isu ketidakpadanan pekerjaan.

Program yang dilaksanakan termasuk Academy in Factory dan Train and Place. – MalaysiaGazette