Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil sedikit masa untuk berjumpa dengan penyokongnya ketika hadir ke mahkamah pada prosiding kes rayuan akhir berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menyambung pendengaran permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta pagi ini.

Pada 19 Januari lepas, mahkamah membenarkan permohonan peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan prosiding kepada hari ini hingga Rabu ini.

Seramai lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oHakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli akan mendengar permohonan semakan bekas Perdana Menteri itu.

Turut bersidang dalam panel itu ialah dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Najib tiba di pekarangan Istana Kehakiman pada 8.41 pagi.

Pendengaran semakan itu yang dibuat mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 akan didengar panel berlainan daripada panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 24 Ogos tahun lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Bekas Presiden Barisan Nasional UMNO itu mahu mahkamah tertinggi negara menyemak keputusan panel lima hakim berkenaan dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – MalaysiaGazette