Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS melancarkan Kalkulator Fidyah Puasa sempena Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini melancarkan Kalkulator Fidyah Puasa bagi memudahkan masyarakat Islam membuat pengiraan bayaran ganti puasa.

Kalkulator Fidyah Puasa ialah sebuah platform digital kalkulator yang telah dibangunkan oleh MAIS bagi memudahkan masyarakat Islam untuk membuat pengiraan kadar fidyah sebelum membuat bayaran.

Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta
atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

Menariknya, Kalkulator Fidyah Puasa ini mempunyai tiga kadar bayaran iaitu RM2, RM4 dan RM6 dan mempunyai kaedah bayaran berganda dan tidak berganda.

Masyarakat Islam yang ingin menggunakan Kalkulator Fidyah Puasa boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my, kata Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar.

Dengan adanya platform kiraan fidyah ini, MAIS mensasarkan RM20 juta kutipan fidyah di Negeri Selangor pada tahun ini.

Sasaran ini ditetapkan agar lebih ramai masyarakat Islam menerima manfaat dan bantuan dalam mereka menjalani kehidupan seharian.

Bagi tahun 2022, MAIS telah berjaya mengagihkan kutipan fidyah berjumlah RM6.85 juta melalui bantuan makanan kering dan wang tunai kepada mereka yang memerlukan.

MAIS berharap agar Kalkulator Fidyah Puasa ini dapat memberi kemudahan baharu kepada masyarakat Islam dalam membuat pengiraan dengan pantas dan tepat bagi bayaran fidyah yang dikenakan atas sebab-sebab faktor yang tertentu.

Tujuan kempen diadakan adalah memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat Islam untuk melunaskan hutang fidyah di samping menggalakkan masyarakat Islam menggantikan puasa lebih awal sebelum bertemunya bulan Ramadhan yang akan datang. – MalaysiaGazette