Ketua Penerangan Bersatu merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan diiringi pegawai SPRM dan individu dipercayai peguam hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkaitan Projek Inisiatif Jana Wibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan rundingan projek Central Spine Road dari Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur bernilai RM232 juta

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut fakta pertuduhan pertama Wan Saiful didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara, iaitu membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM232 juta.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kesalahan itu pada  April 2022 di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa telah secara rasuah menerima suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui Akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 80-0995300-6 milik syarikatnya, iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat, Nepturis Sdn. Bhd. sebagai upah sebagai dorongan membantu Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (CH 0-CH 8050) daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM232 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022 di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu dituduh melakukan kesemua kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dan dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Beliau berhadapan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh diwakili peguambela Datuk Hisyam Teh Poh Teik serta Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan agar tertuduh diikat jamin antara RM500,000 hingga RM1 juta dengan seorang tertuduh.

Wan Shaharuddin berkata, jumlah itu adalah munasabah untuk tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

“Kami juga mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Putrajaya sebulan sekali.

“Kami akui, tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan telah memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan ini dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Hisyam merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin tidak lebih RM300,000 dengan seorang penjamin.

“Kedua-dua akaun banknya telah dibekukan oleh SPRM malah isterinya menghadapi masalah kesihatan dan sedang menjalani rawatan kimoterapi yang memerlukan sokongan kewangan ketika ini,” ujarnya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Azura memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000 serta menetapkan syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Wan Saiful perlu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada setiap minggu pertama dua bulan sekali.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, Wan Saiful hadir ke mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan berpakaian sut hitam.

Turut kelihatan di Mahkamah ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam pada itu, seorang lagi tertuduh iaitu Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat, Adam Radlan Adam Muhammad,40, didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah suapan dalam projek pembinaan sungai di Perlis bernilai RM47 juta.

Adam Radlan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Segambut dalam pertuduhan pertama didakwa secara rasuah meminta suapan bagi dirinya iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga 7 peratus daripada nilai projek yang akan diperolehi daripada Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat  sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek di bawah Program Janawibawa daripada Kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada Mac 2021 di sebuah restoran di Dutamas, Kuala Lumpur.

Dalam pertuduhan keduanya, Adam Radlan didakwa menerima untuk diri sendiri suapan wang berjumlah RM500,000 ke dalam Akaun CIMB Bank Berhad miliknya  daripada Mat Jusoh sebagai upah kerana telah membantu MIE Infrastructure & Energy
Sdn. Bhd. mendapatkan Surat Setuju Terima membabitkan projek pembinaan sungai yang sama.

Dia yang didakwa melakukan perbuatan itu pada 26 November 2021 di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, J2 & KI, Taman Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Adam Radlan boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan

Beliau mengaku tidak bersalah untuk kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Suzana Hussein.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh mencadangkan wang jaminan RM300,000 dikenakan ke atas tertuduh dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Adam Radlan yang diwakili peguambela, Datuk Seri Rajan Navaratnam dan Roshan Selvaratnam merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan sebanyak RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan anak guamnya telah memberi kerjasama baik sepanjang disiasat oleh SPRM selain tidak pernah dituduh dalam kes jenayah

“Anak guam saya merupakan seorang ahli perniagaan yang mempunyai empat anak yang berusia antara sembilan dan 16 tahun.

“Semalam, anak guam saya telah dihubungi oleh SPRM dan beliau sendiri telah hadir ke pejabat SPRM untuk keterangannya diambil dan ketika itu dia dimaklumkan beliau akan dituduh di mahkamah pada hari ini,” katanya.

Mahkamah kemudian memutuskan Adam Radlan diikat jamin sebanyak RM120,000 dengan dua penjamin dan mengekalkan syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Suzana menetapkan 23 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette