asyraf wajdi dusuki
Asyraf Wajdi Dasuki

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan kini sudah ‘masuk’ Kluster Mahkamah selepas menghadapi dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan rundingan projek Central Spine Road dari Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, gelaran itu mengikut penanda atas penyokong Perikatan Nasional (PN).

”Ketua Penerangan PN/Bersatu dan Bekas Pengerusi PTPTN didakwa hari ini kerana rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa. Projek-projek di bawah jenama ‘Jana Wibawa’ adalah projek-projek rundingan terus yang dilaksanakan ketika tempoh PKP dan tempoh darurat.

”Kalau ikut tanda aras ‘benchmark’ penyokong PN, Ahli Parlimen PN Tasek Gelugor ini sudah masuk KLUSTER MAHKAMAH akan dilunyaikan dengan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Persepsi Awam (Court of Public Opinion),” katanya dalam hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, menurut Asyraf, sebagai orang Islam, kita harus berpegang kepada prinsip Islam iaitu “Al-Aslu Baraatu Zimmah” – iaitu seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Mengikut fakta pertuduhan pertama Wan Saiful didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara, iaitu membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM232 juta.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kesalahan itu pada  April 2022 di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa telah secara rasuah menerima suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui Akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 80-0995300-6 milik syarikatnya, iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat, Nepturis Sdn. Bhd. sebagai upah sebagai dorongan membantu Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (CH 0-CH 8050) daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM232 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022 di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu dituduh melakukan kesemua kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dan dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Beliau berhadapan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

Wan Saiful mengaku tak bersalah minta, terima rasuah RM6.9 juta