Pemilik dan Pengasas Butik Dzulldeclassique Original, Zulkifli Rahmat.

KUALA LUMPUR – Bagi tukang jahit baju Melayu, kedatangan Ramadan dan Syawal tahun ini memang ditunggu-tunggu selepas dua tahun industri itu suram berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kurang menerima tempahan baju raya.

Tahun lepas pula, walaupun fasa peralihan ke endemik telah merancakkan lagi pelbagai aktiviti ekonomi, usahawan industri fesyen belum bersedia sepenuhnya kerana berdepan kekangan kakitangan yang tidak mencukupi.

Bagi pemilik Butik Dzulldeclassique, Zulkifli Rahmat, dia kini dapat menarik nafas lega apabila jumlah tempahan meningkat tahun ini memandangkan ramai pelanggan membuat tempahan baju Melayu sejak akhir tahun lalu.

Malah dia juga yakin  butik itu mampu menerima lebih 4,000 tempahan menjelang awal Ramadan nanti sebelum tempahan ditutup.

Ketika ini, katanya, beliau telah menerima lebih 2,000 tempahan apabila pelanggan tidak putus-putus datang ke butik setiap hari yang kebanyakan terdiri golongan yang berkeluarga dan pelanggan tetap.

“Tahun lepas, saya terpaksa menghentikan tempahan selepas mencecah 3,000 pasang baju Melayu akibat kekurangan kakitangan terutamanya tukang jahit.

“Jika diikutkan trend tempahan sebelum PKP, kami mampu menerima lebih 5,000 tempahan Ramadan ini.

“Tahun ini tempahan yang diterima amat luar biasa sejak akhir November lalu namun kami terpaksa hadkan tempahan kepada 4,000 sahaja walaupun memiliki kakitangan yang mencukupi bagi menjaga kualiti terbaik,” katanya.

Ditanya tema dan warna tempahan baju Melayu yang menjadi pilihan Aidilfitri tahun ini, Zulkifli memberitahu, pelanggan kini lebih gemar kepada warna yang terang sebagai satu kelainan.

Bapa kepada tiga anak ini turut memberi jaminan Butik Dzulldeclassique masih mengenakan harga mampu milik kepada semua lapisan masyarakat yang datang menempah baju Melayu.

“Umat Islam sentiasa mahu berpakaian baju Melayu baharu di pagi hari raya yang wajib disambut meriah setahun sekali sahaja dan harga biarlah berpatutan.

“Sebenarnya tiada rahsia nama Dzulldeclassique kekal sehingga hari ini sejak beroperasi lebih 25 tahun lalu.

“Yang penting jujur dalam berniaga, servis dan kualiti yang bagus selain ramah dengan pelanggan,” katanya sambil memberitahu bagi sepasang baju Melayu, tempoh tiga jam diperlukan untuk disiapkan melibatkan proses potong kain dan jahitan.

Sementara itu, Zulkifli memulakan perniagaan membuat   Melayu pada tahun 1993 sebelum menyewa di Arked Mara Kajang dua tahun kemudian.

Beliau yang kini boleh dianggap ikon dalam dunia bisnes baju Melayu dan bertaraf jutawan berpindah ke bangunan baru di Jalan Reko di sini pada tahun 2016.

Kedai lama itu telah diubah suai sebagai butik pakaian wanita antara langkahnya untuk mengembangkan perkhidmatan Butik Dzulldeclassique pada masa akan datang. – MalaysiaGazette