CYBERJAYA – Kira -kira 110 struktur binaan di kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibina berhampiran Jalan Persiaran Semarak Api, di sini, dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

Yang DiPertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, tindakan itu diambil susulan serbuan yang dilakukan Jabatan Imigresen (JIM) pada 14 Februari lalu di penempatan haram PATI itu.

Operasi perobohan bermula jam 8.30 pagi tadi, melibatkan kekuatan seramai 80 anggota MPSepang, pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Sepang, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

“Semakan mendapati terdapat 110 stuktur binaan serta tiga surau dalam empat blok penempatan di dalam kawasan seluas empat ekar.

“Kita akan melaksanakan aktiviti perobohan ini sehingga selesai dan ia bergantung kepada keadaan cuaca. Operasi ini, kita menggunakan tiga jentera ‘JCB’ dan 10 buah tong roro.

“Jika ikut dari segi pelan perancangan, kawasan ini merupakan kawasan tanah lapang tetapi belum lagi diwartakan. Jadi dalam erti kata lain, ia sebagai status tanah kerajaan buat masa ini.

“Daripada segi kedudukan, kawasan ini agak terpencil serta terlindung serta jauh dari kemudahan jalan serta agak susah untuk masuk ke kawasan ini dengan kenderaan.

“Keadaan itu menyebabkan kami tidak dapat mengesan aktiviti penempatan haram di sini,” katanya pada pemberita selepas meninjau kawasan itu.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd. Hamid Hussain bercakap kepada media selepas melihat kerja-kerja Operasi Perobohan dan Pembersihan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dilakukan oleh pihak MPS di Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 FEBRUARI 2023.

Beliau turut memaklumkan, operasi pembersihan kawasan itu akan mengambil masa lebih seminggu untuk melupuskan dan mengalihkan kesemua barangan seperti kayu, zink dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata, sebaik kawasan itu dibersihkan, pihaknya merancang untuk membangunkan ia sebagai tempat yang boleh dikunjungi orang awam bagi mengelakkan penempatan haram semula.

“Kalau lihat dari segi persekitaran di sini, belum ada kawasan perumahan. Bagi saya perlu ada pembangunan yang memerlukan kawasan ini dibangunkan sekarang.

“Jadi dalam hal ini kita bersama pejabat tanah, kedua-duanya perlu bekerjasama memantau kawasan hutan dan tanah kosong yang masih banyak dalam kawasan Sepang dan Cyberjaya.

“Ini bagi mengesan sebarang aktiviti penempatan haram. Untuk makluman, sekarang kita dalam fasa akhir dari segi pewartaan untuk menjadikan ia sebagai kawasan lapang.

“Apabila ia berada di bawah pentadbiran MPSepang, kita akan buat dengan menjadikan kawasan ini yang boleh digunakan masyarakat bukan sebagai tempat penempatan,” ujarnya.

Kitab suci al-Quran antara barangan yang diselamatkan petugas Majlis Perbandaran Sepang (MPS) ketika melakukan kerja-kerja Operasi Perobohan dan Pembersihan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 FEBRUARI 2023.

Sementara itu, ditanya mengenai status kewujudan perigi yang dibina di kawasan penempatan PATI itu untuk kemudahan mereka bermandi manda dan membasuh pakaian.

Abd Hamid berkata, pihaknya akan berbincang bersama Jabatan Teknikal sama ada akan menimbus perigi itu atau merobohkannya.

“Saya tinjau tadi ingat satu perigi sahaja, tapi saya nampak ada lebih 10 perigi. Jadi dalam hal ini saya akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Teknikal.

“Sama ada kalau kita timbus adakah akan mendatangkan apa-apa masalah kemudian nanti. Buat sementara kalau tiada apa-apa kita akan kekalkan dan tutup supaya tidak menjadi kemalangana berlaku.” jelasnya.

Petugas Majlis Perbandaran Sepang (MPS) melakukan kerja-kerja Operasi Perobohan dan Pembersihan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 FEBRUARI 2023.

Susulan kejadian itu, Abd Hamid berkata, pihaknya akan melaksanakan pemantauan yang kerap di sekitar kawasan lapang di Sepang dan Cyberjaya agar perkara seumpama itu tidak berulang.

Beliau berharap masyarakat bersama pihak agensi kerajaan terutamanya JIM dapat melaporkan kepada MPSepang sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kewujudan penempatan haram PATI.

Pada 14 Februari lalu, JIM menahan seramai 55 PATI warga Indonesia berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita dalam serbuan yang dilakukan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, dilaporkan berkata, penempatan yang dianggarkan berusia tujuh tahun itu sukar dikesan.

Ini kerana kawasan itu terletak kira-kira tiga hingga empat kilometer dari jalan utama dan rumah dibina di celah-celah pokok di tepi belukar dalam hutan berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bina reban ayam dan ternak lembu supaya kurangkan import telur ayam dari tanah besar Keling dan daging dari Aussie

Comments are closed.