Azam Azmi Murad.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) menandatangani kontrak lanjutan tonggak pertahanan muda Azam Azmi Murad menjelang perlawanan Piala Sumbangsih yang bakal berlangsung esok.

Perkara tersebut didedahkan oleh ejen bola sepak tempatan menerusi laman Twitter miliknya, Joe berbatov yang mengesahkan bahawa pemain kelahiran Pulau Pinang itu bersetuju untuk kekal bersama Terengganu sehingga 2025.

Azam Azmi merupakan antara bek kanan utama TFC yang mana dia sering menjadi pilihan kesebelasan utama dalam setiap perlawanan Liga Super mahupun kejohanan lain.

Sejak menyertai skuad penyu pada musim 2020, pemain berusia 22 tahun itu tampil dalam 55 perlawanan, membuat empat hantaran bantuan dan juga menjaring dua gol buat pasukan itu.

Bukan itu sahaja, Azam Azmi yang dahulunya bermula dengan squad Bawah-21 tahun TFC turut mendapat perhatian daripada ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dimana dia memanggil Azam untuk beraksi dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Kejadian paling diingati ialah ketika perlawanan kumpulan B menentang Vietnam dimana beliau terlibat dalam dua insiden panas dengan pemain pertahanan lawan iaitu Doan Van Hau.

Pada separuh masa pertama, Azam Azmi disiku oleh Van Hau di bahagian dada sehingga menyebabkan pemain itu mengalami kesakitan namun pengadil tidak memberikan sepakan penalti mahupun sebarang kad kepada Van Hau.

Pada separuh masa kedua pula, Azam Azmi dilayangkan kad merah dimana pengadil menganggap pemain itu mengasari Van Hau namun hakikatnya tiada sebarang kekasaran yang dilakukan oleh pemain itu. – MalaysiaGazette