Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hanya lima minit diperlukan oleh tiga penyamun untuk meletupkan mesin pengeluaran wang automatik(ATM) di sebuah bank sebelum melarikan wang RM349,000 di Shah Alam dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku di cawangan Ambank cawangan Setia Alam.

Katanya, polis pada pukul 6.48 pagi tadi telah menerima panggilan daripada orang awam berkenaan kejadian samun itu dan pengadu mendakwa mesin ATM itu telah diletupkan suspek tidak dikenali dan wang tunai di dalamnya telah dilarikan.

“Polis bergegas ke tempat kejadian dapati dua buah mesin ATM dalam keadaan rosak teruk dipercayai telah diletupkan sebelum salah satu mesin ATM berjaya dibuka suspek manakala sebuah lagi tidak berjaya sebelum wang dilarikan dengan bekas menyimpan wang dalam mesin ATM itu.

“Hasil siasatan setakat ini tiga suspek bertopeng hitam itu menaiki kereta disyaki Mitsubishi ASX putih dilihat telah memasuki premis ATM bank tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik bank kabur kerana suspek telah menyemburnya menggunakan spray cat hitam.

Katanya, pihak forensik, Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Post Balistic Investigation (PBI) turut dikejarkan ke tempat kejadian untuk  membantu siasatan.

“Siasatan awam pihak forensik menyatakan letupan dipercayai dilakukan menggunakan tekanan gas.

“Tiada ada kesan kebakaran di tempat kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala kerugian daripada insiden itu dianggarkan berjumlah RM409,000 iaitu pecahan wang tunai RM349,000 dan nilai kerosakan setiap mesin berjumlah RM30,000.

“Polis telah mempergiatkan usaha mengesan kesemua suspek yang bertanggungjawab di sebalik letupan dan rompakan wang mesin ATM itu,” tegasnya.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 436 dan 379 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-266 6025.-MalaysiaGazette