Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA , 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan dengan kadar segera pembaikan bagi 400 klinik dan 380 sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah tidak boleh diterima akal rakyat terpaksa berdepan dengan isu sekolah dan klinik sedemikian rupa.

”Kalau disebabkan projek lambat siap kerana mematuhi prosedur, apa guna jadi kerajaan kalau tidak memudah cara. Ini perlu segera diselesaikan tahun ini juga,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 hari ini.

Beliau yang enggan isu itu berlarutan berkata, untuk menyegerakan pelaksanaan projek, had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan kepada RM1 juta berbanding RM500,000 serta perolehan secara cabut undi kepada RM200,000 berbanding RM100,000.

Terkait hal yang sama, isu kemalangan jalan raya yang kian meningkat juga perlu segera ditangani. Lebih-lebih lagi jika disebabkan kelemahan prosedur kerajaan menyelesaikan masalah keselamatan jalan raya.

Kerajaan menyediakan RM2.7 bilion untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan.

Dalam masa sama, bagi melaksanakan penyelenggaran kecil, RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.

Sejumlah RM1.5 bilion juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.

Bagi isu jalan-jalan berlubang, khidmat jurutera daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan persekutuan serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat yang diterima.

Kerajaan menyediakan RM100,000 untuk setiap daerah, kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Sejumlah RM50 juta disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi.

Menurut beliau, kerajaan akan meningkatkan pemberian MARRIS yang bertujuan untuk menyelenggarakan jalan negeri kepada RM5.2 bilion.

Kerajaan Persekutuan telah memberi kelonggaran termasuk membenarkan penggunaan MARRIS untuk membaiki dan mengganti jalan, jambatan dan longkang yang rosak akibat bencana. – MalaysiaGazette