Shahbudin Embun

KUALA LUMPUR – Lagi ada pihak menyoal keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menetapkan protokol kepada badan penguat kuasa yang mahu menyiasat hakim.

Kali ini Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyifatkannya melanggar prinsip pengasingan kuasa di antara kehakiman dan eksekutif.

Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan MPM, Shahbudin Embun berpandangan, protokol itu memperlihatkan seolah-olah institusi kehakiman cuba ‘menceroboh’ bidang kuasa eksekutif.

Tegasnya, sepatutnya institusi kehakiman lebih terbuka ketika siasatan oleh pihak penguat kuasa bagi memastikan tiada sebarang kesalahan dilakukan hakim sekali gus memastikan institusi berkenaan bersih daripada salah laku.

“Adakah badan kehakiman tidak menceroboh bidang kuasa eksekutif? Jadi di manakah pengasingan kuasa di negara ini? Adakah kehakiman akan paksa badan eksekutif ikut protokol pihaknya dan tiada campur tangan siasatan seperti SPRM?

“Jika terdapat dakwaan salah laku terhadap hakim, siapakah yang akan membersihkan hakim? Bagaimanakah badan kehakiman tahu bahawa hakim tidak melakukan sebarang kesalahan melainkan terdapat penyiasatan yang dijalankan oleh penyiasat?

“Bolehkah sesebuah institusi membersihkan diri sendiri?” soalnya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mendakwa tidak dimaklumkan tentang siasatan SPRM terhadap hakim Datuk Mohd Nazlan Ghazali sebelum ini.

Tengku Maimun yang mempengerusikan panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya berkata, siasatan itu mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan badan kehakiman.

Katanya, antara protokol yang perlu dipatuhi ialah badan siasatan mesti terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim berkenaan; badan siasatan tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran ketua hakim negara; dan pendakwa raya mesti berunding dengan ketua hakim negara ketika siasatan termasuk dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman melalui permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan perlembagaan berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohd Nazlan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

Kata Shahbudin lagi, protokol yang ditetapkan Mahkamah Persekutuan itu tidak pernah dibangkitkan dalam siasatan pihak berkuasa terhadap beberapa bekas hakim kanan dan ketua hakim negara sebelum ini.

Jelasnya, Badan Pencegahan Rasuah (BPR) yang kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga pernah menyiasat beberapa hakim kanan namun tidak pernah disebut perlu memaklumkan kepada ketua hakim negara atau forum kehakiman.

“Kita beri contoh kes bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin yang bercuti bersama seorang peguam terkenal adalah contoh kes pernah disiasat BPR. Malah BPR ketika itu didesak untuk menyiasat ketua hakim negara. Terdapat hakim kanan lain juga disiasat, ketika itu tiada sebut tentang protokol,” ujarnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM badan bebas, tiada keperluan maklum siasatan kepada Ketua Hakim Negara – Penganalisis

2 Komen

  1. Ketua Hakim Negara yg kemudian melantik hakim mahkamah persekutuan pun tak ikut protokol dan undang2..lagi mahu cakap pasal protokol? Memalukan Institusi Kehakiman jaa…protokol buat sendiri..apa hakim2 tu malaikat kaaa?? Nabi kaa? Maksum kaa??

Comments are closed.