Leonardo Rolón.

KUALA LUMPUR – Kelantan FC berjaya menyambar seorang lagi pemain import sebelum jendela perpindahan pertama saingan Liga Malaysia musim 2023 ditutup semalam apabila menandatangani bekas pemain Piala Dunia Bawah-20 Argentina, Leonardo Rolón.

Perkara ini disahkan oleh pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham menerusi laman media sosial Facebook miliknya.

Rolon menggantikan pemain dari Australia yang batal untuk ditandatangani sebelum ini.

Dia mampu untuk beraksi di posisi menyerang serta pertahanan kanan dan memiliki pengalaman luas di beberapa negara Amerika Selatan seperti Argetina, Chile dan juga Mexico.

Pemain kelahiran Rosario itu pernah beraksi dalam temasya South American Youth Championship pada 2015 dan beliau turut tampil dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam temasya Piala Dunia B-20 edisi 2015.

Pemain berusia 28 tahun itu pernah menyarung jersi Vélez Sarsfield dan Arsenal Sarandi dalam saingan Liga Argentina dan juga Deportes Iquique serta Audax Italiano dalam saingan Liga Chile.

Meskipun pernah beraksi dengan beberapa kelab besar di Amerika Selatan, namun rekod jaringan Rolon tidak begitu memberangsangkan kerana tidak pernah menjaringkan dua digit gol dalam semusim sepanjang kariernya setakat ini.

Baru-baru ini, TRW Kelantan berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad kebangsaan Filipina, Carli De Murga. Bersama Harimau Selatan, beliau sempat beraksi dalam sembilan penampilan dan menjaringkan satu gol.

Selain De Murga dan Rolon, TRW Kelantan turut mengikat Kim Ming Kyu dan Kang Eui Chan dari Korea Selatan, Cristian Mangaron Rontini (Itali), Mario Arques, Miguel Angel Garrido Cifuentes (Sepanyol) dan Nuha Marong Krubally (Gambia).

Selain itu, mereka juga mempunyai pemain dari Indonesia, Natanael Siringoringo yang kini dipinjamkan ke pasukan Liga I Indonesia, Dewa United.

Skuad Kijang Merah turut mengekalkan pemain tempatan seperti Mohd Fazrul Amir Md Zaman atau Ghaddar Kelate, Ikhwan Yazek, Norshamil Abd Ghani selain Rezal Zambery Yahya sebagai pembantu jurulatih kepada pengendali dari Korea Selatan, Choi Moonsik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast